Karon Grieve telah mengambil satu swafoto yang sangat mengagumkan dan mencetuskan sensasi di Internet!

Hal ini kerana gambar swafoto tersebut memperlihatkan kekosongan tempat duduk penumpang kapal terbang JET2 dari Glasgow ke Crete.

Karon yang berusia 57 tahun dari Dunlop, Ayrshire dimaklumkan di pintu masuk bahawa hanya tiga orang penumpang yang menempah tiket untuk penerbangan berkenaan.

Akan tetapi, dua lagi penumpang lain tidak memunculkan diri mereka sekali gus membuatkan Karon diberikan layanan yang eksklusif!

Selain diberikan makanan secara percuma, Karon juga dibenarkan untuk memilih tempat duduk pilihannya di dalam pesawat berkenaan.

Malahan juruterbang turut berkomunikasi bersama dengan Karon. Setelah mendarat di Crete, Karon tidak perlu menunggu terlalu lama untuk mendapatkan bagasinya.

Menurutnya, “Apabila saya hendak mendaftar masuk di kaunter, saya berbual bersama dengan pekerja tentang jumlah penumpang bagi penerbangan ini”.  Tahun lepas hanya terdapat lapan orang penumpang.

Jadi, pekerja itu meminta saya meneka jumlah penumpang untuk penerbangan kali ini dan akhirnya saya mendapat tahu bahawa terdapat dua lagi penumpang yang turut menempah tetapi tidak muncul pada hari kejadian.

Tambah Karon, “Mereka telah memindahkan saya ke tempat duduk pertama yang lebih luas dan selesa.”

Juruterbang kemudian keluar untuk berbual bersama-sama sebelum meneruskan perjalanan.

“Ada satu ketika apabila berlaku ribut petir dan melalui interkom, juruterbang tersebut meminta saya melihat ke luar tingkap dan menyaksikan fenomena yang menakjubkan itu.”

Karon kini sedang menikmati percutian di Crete selama sebulan bagi menghasilkan novel terbarunya yang berunsurkan romantik jenayah bertajuk, A Cosy Crime.

Wakil jurucakap JET2 berkata, “Kami sangat berbesar hati menerima Karon sebagai penumpang dan merasai pengalaman sebagai pelanggan VIP. Kami berharap Karon akan menikmati waktu cuti yang menyeronokkan di Crete.”

Setakat ini, Karon telah berjaya menghasilkan sebanyak empat buah buku. Antaranya, So Easy Herbal, So Easy Christmas. Simply Scottish Cakes & Bakes dan A Wee Taste of Scotland.

Malah, Karon turut menulis untuk beberapa buah majalah dan iklan yang ditayangkan di BBC Radio Scotland’s MacAulay & Co. Siapa sangka dengan tiket penerbangan untuk individu perseorangan membolehkan wanita ini menikmati pengalaman sebagai pelanggan yang eksklusif?!

Era Baru

Share
Kategori: Eropah

Video Popular

Ad will display in 09 seconds