INSPIRASI, Kempen, NASIONAL, Pendidikan

“Setiap hari anak saya ke sekolah dengan mengharungi sungai yang dipenuhi buaya!” Ibu ini memohon rintihannya didengari pihak bertanggungjawab

“Setiap hari anak saya ke sekolah dengan mengharungi sungai yang dipenuhi buaya!” Ibu ini memohon rintihannya didengari pihak bertanggungjawab

Setiap hari anak-anak ini akan ke sekolah dengan menaiki bot yang penuh muatan dan menempuh bahaya serta risiko demi menuntut ilmu.

Dan setiap hari juga hati para ibu yang membawa anak mereka ke jeti ini juga diiringi dengan perasaan bimbang akan keselamatan yang tidak terjamin.

Hati ibu mana yang tidak berasa bimbang apabila mengenangkan anak-anak mereka terpaksa menempuh bahaya gelombang dan arus sungai yang dalam dan deras setiap hari, di samping risiko menjadi mangsa haiwan ganas di dalam sungai tersebut iaitu buaya.

Ibu-ibu ini sentiasa berasa tidak tenteram mengenangkan nasib anak mereka yang pergi ke sekolah dengan berdepan risiko setiap hari. Dan mereka tidak meminta lebih dari pihak berwajib.

Cukup sekadar dapat menyiapkan sekolah yang telah dijanjikan dengan kadar segera walaupun jadual sekolah itu dijangka siap ialah pada tahun lalu.

Sementara ramai kanak-kanak lain seperti di Semenanjung Malaysia yang nasibnya amat baik dengan dimanjakan dan dihantar oleh ibubapa ke sekolah dengan berkereta mewah dan cantik dan memimpin tangan anak mereka sehingga ke pintu kelas.

Kanak-kanak di Sekolah Kebangsaan Pulau Seduku di Sarawak ini terpaksa berdepan dengan cabaran dan dugaan bersendirian setiap hari kerana ingin bersekolah.

Sedangkan ada anak-anak lain yang cukup selesa dengan kemudahan ke sekolah masih malas untuk bersekolah. Mereka tidak perlu berhujan dan berpanas untuk ke sekolah.

Tetapi bagi para pelajar di Sekolah Rendah Pulau Seduku, kadang-kadang mereka terpaksa menempuhi hujan dan ribut serta sungai yang bergelora untuk sampai ke sekolah.

Maka, tidak hairan ibu ini akan berasa sedih mengenangkan nasib anaknya yang pergi ke sekolah dengan keadaan begitu setiap hari walaupun pada mulanya cuba mengukir senyuman.

Ibu ini menitiskan air mata menceritakan perasaan bimbangnya setiap kali menghantar anak tersayang dari jeti ke dalam bot sambil melihat anaknya berlalu pergi.

Anak yang masih bersekolah di sekolah rendah ini masih kurang bijak menjaga diri sendiri tetapi terpaksa dilepaskan dan ibu ini sentiasa mendoakan supaya keselamatan anaknya terjamin dan tidak berlaku apa-apa perkara yang tidak diingini dalam perjalanan ke sekolah.

Semoga rintihan hati ibu ini bersama ibu-ibu yang lain didengari oleh pihak yang bertanggungjawab. Apa yang mereka mahukan dan memohon itu bukanlah satu perkara mewah yang tidak dapat ditunaikan.

Cuma cukup sekadar menunaikan janji yang pernah diucapkan ketika bertandang sekali sekala menjenguk nasib rakyat.

Sebuah sekolah berdekatan kawasan penempatan yang perlu disiapkan segera dalam tahun ini juga seperti yang telah dijanjikan.

Tunaikanlah permintaan rakyat yang tidak seberapa ini. Berilah peluang kepada anak-anak ini untuk menuntut ilmu dengan keadaan yang lebih selesa di Sekolah Kebangsaan Pulau Seduku yang baru.

Anda juga pasti mempunyai anak dan mahukan anak anda hidup dengan selesa dan mewah. Begitu juga dengan ibubapa ini.

Walaupun tidak dapat hidup dengan mewah seperti anda, tetapi cukuplah sekadar dapat melihat anak mereka belajar dengan keadaan yang selesa dan tenang.

Semoga pihak berwajib dan bertanggungjawab dapat mendengar rintihan ibu-ibu ini dan sila selesaikan masalah dan kebimbangan mereka dengan kadar segera.

Dengan itu, masa depan para pelajar di Sekolah Kebangsaan Pulau Seduku akan lebih terjamin apabila mereka dapat belajar dengan gigih dan selesa di sekolah yang baru.

Era Baru

ANDA JUGA MUNGKIN SUKA

Pilihan Editor

loading...