Berita Hiburan, GLOBAL, Seni Persembahan

Tema kuda kepang dipersembahkan peserta Malaysia dalam pertandingan ratu cantik Miss Grand International 2017 jadi tarikan!

Tema kuda kepang dipersembahkan peserta Malaysia dalam pertandingan ratu cantik Miss Grand International 2017 jadi tarikan!

Bermula 5 Oktober lalu, satu acara pertandingan ratu cantik iaitu Miss Grand International (MGI) 2017 yang bertempat di Vietnam mula menarik perhatian ramai orang.

MGI mula menjadi tarikan dunia bagi acara ratu cantik yang mempamerkan kualiti dan keunikan pertandingan tersebut.

Malam terakhir pertandingan yang akan berlangsung 25 Oktober ini melibatkan kesemua peserta dengan markah tertinggi dari temuduga, aktiviti, dan pertandingan awal untuk diadili terlebih dahulu (20 peserta separuh akhir) dan 10 peserta finalis akan dipilih.

Ratu cantik bagi Miss Grand International tahun 2017 akan dipilih mengikut peraturan dan prosedur yang ditentukan oleh Pertubuhan Antarabangsa Miss Grand dalam budi bicara mutlaknya.

Pertandingan ini disertai oleh ramai ratu cantik seluruh dunia dan Malaysia diwakili oleh seorang peserta jelita bernama Sanjeda John yang berusia 25 tahun.

Sanjeda merupakan seorang pelajar yang mempunyai ijazah dalam jurusan sains bioperubatan.

Gadis cantik manis dengan ketinggian 168 sm dan berat 47 kg ini turut bercita-cita untuk menjadi ahli saintis forensik. Di samping itu, Sanjeda John turut minat memasak, menonton dokumentari serta membaca blog fesyen.

Pertandingan Miss Grand International 2017 ini turut mempersembahkan lima kategori acara pertandingan iaitu:

  1. Kostum Kebangsaan Terbaik
  2. Pakaian Renang Terbaik
  3. Gaun Petang Terbaik
  4. Media Sosial Terbaik
  5. Anugerah Undian Ratu Cantik Popular

Dalam acara Kostum Kebangsaan Terbaik, seramai 10 peserta mewakili negara masing-masing. Antaranya adalah Indonesia, Vietnam, Kemboja, Filipina, Laos, Malaysia, Peru, Myanmar, Paraguay dan juga Thailand.

Kemenangan dalam acara ini menjadi milik Indonesia yang diwakili oleh Dea Goesti Rizkita dengan jumlah undian tertinggi sebanyak 7,502,479 mengalahkan peserta tuan rumah dan negara lain.

Dea yang tampil menawan dengan busana seberat 27 kilogram itu berjaya mempamerkan Indonesia sebagai negara maritim dengan warna tema biru gelap.

Busana anggun itu turut dihiasi dengan lima permata kristal biru pada perhiasan atasnya.

Busana yang digayakan oleh Sanjeda John juga tidak kurang hebatnya.

Dengan tema kostum kuda kepang, wakil Malaysia ini berjaya menyerlahkan elemen ‘mistik’ dalam persembahannya sambil mengangkat budaya kuda kepang sebagai warisan negara.

Tidak dapat dipastikan kedudukan Malaysia dalam acara berkenaan namun diharap, Sanjeda John dapat mengharumkan nama negara di persada dunia pada malam akhir pertandingan Miss Grand International ini.

Era Baru

ANDA JUGA MUNGKIN SUKA

Pilihan Editor

loading...