Kempen, KESIHATAN, Pendidikan

Malas memberus gigi boleh membawa maut?

Malas memberus gigi boleh membawa maut?

Adakah anda seseorang yang hanya memberus gigi sehari sekali?

Kredit: Pinterest

Atau adakah anda menyampah melakukan pemflosan gigi? Atau adakah anda tergolong dalam golongan yang takut untuk bertemu janji dengan doktor gigi?

Jika jawapannya ya, maka bertabahlah dengan akibat yang bakal kami kongsikan ini.

Tahukah anda tahap kebersihan mulut yang rendah boleh menjejaskan kesihatan anda secara menyeluruh sehingga menyebabkan kematian?

Benar! Kaviti, bengkak gusi, akar gigi yang terdedah dan lain-lain masalah gigi tidak hanya memberi kesan negatif kepada mulut dan rekod pergigian anda.

Kesemua masalah ini jika dibiarkan tanpa rawatan boleh membawa kepada kesan yang lebih buruk.

#1. Kecelaruan daya ingatan

Kredit: GSM

Kajian mendapati tahap kebersihan mulut yang tidak memuaskan meningkatkan risiko seseorang menghidapi demensia iaitu sejenis penyakit yang disebabkan oleh gangguan keupayaan kognitif.

Walaupun hubung kaitnya masih kabur, para penyelidik mendapati bakteria yang terdapat di dalam mulut boleh bergerak memasuki otak melalui aliran darah atau saraf kranial yang bersambung pada rahang.

Bakteria ini dipercayai menyumbang kepada penghasilan sejenis plak yang dikaitkan dengan penyakit Alzheimer.

#2. Risiko penyakit jantung

Kredit: Youtube

Ya, kesihatan mulut boleh mengundang penyakit yang lebih parah iaitu penyakit jantung.

Ianya berlaku apabila bakteria daripada radang gusi memasuki aliran darah seterusnya membawa ia ke saluran darah yang bersambung ke jantung dan menyebabkan aterosklerosis (pengerasan saluran darah).

Sama seperti plak yang boleh dijumpai pada gigi, aterosklerosis menyebabkan plak terbentuk pada dinding bahagian dalam saluran darah dan tindihan plak boleh mengakibatkan strok atau serangan jantung.

#3. Sistem pernafasan tersumbat

Kredit: Goldbamboo ChestXray

Mulut yang kotor meningkatkan risiko berdepan dengan jangkitan kuman di bahagian pernafasan, sekaligus mengakibatkan berlakunya radang paru-paru (pneumonia) dan penyakit penghalang pulmonari kronik (chronic obstructive pulmonary disease).

Ianya terjadi apabila bakteria yang terdapat pada mulut tersedut masuk ke dalam paru-paru dan menyebabkan radang pada laluan udara.

#4. Nafas berbau busuk

Kredit: SHAPE SINGAPORE

Walaupun anda mempunya gigi seputih salji, ianya tidak bermakna jika nafas anda berbau.

Jika anda malas memberus gigi dan membersihkannya dengan cara yang betul, sisa makanan yang terselit di celah gigi atau bakteria yang berkumpul di dalam mulut akan menyebabkan orang di sebelah jatuh pengsan kerana tidak tahan dengan bau busuk yang keluar dari mulut anda.

#5. Gusi mudah terluka

Kredit: Denise Bass Allen DDS

Jika gusi anda mudah terluka ini bermakna plak telah berkumpul akibat kemalasan anda memberus gigi.

Gusi berdarah juga bermaksud anda harus lebih rajin memberus gigi supaya plak dapat ditanggalkan, bukannya semakin malas!

#6. Tahap gula dalam darah

Kredit: Mamamia

Hubung kait antara jangkitan gusi dengan penyakit kencing manis agak pelik namun kajian mendapati pesakit kencing manis lebih berisiko terkena penyakit gusi. Pesakit kencing manis yang juga menghadapi masalah gusi mengalami kesukaran mengawal paras gula dalam darah.

Sebaliknya, jika seseorang pesakit kencing manis berjaya merawat jangkitan gusi, dia boleh mengawal penyakit kencing manisnya dengan lebih baik.

#7. Sukar hamil

Kredit: istock

Satu kajian di Western Australia mendapati wanita yang mengalami penyakit gusi mengambil masa yang lebih lama untuk hamil berbanding wanita yang mempunyai gusi yang sihat. Penyakit gusi juga dikatakan meningkatkan risiko seorang wanita mengandung mengalami keguguran.

#8. Hidup bersendirian selamanya

Kredit: Izismile

Secara jujurnya, siapakah yang sanggup berpasangan dengan seseorang yang mempunyai sebaris gigi yang bukan sahaja kotor, malah nafas berbau busuk? Jadi, jika anda tidak mahu kekal solo selama-lamanya, fikir-fikirkanlah!

Jadi, apakah langkah yang perlu diambil untuk mendapatkan sebaris gigi yang putih bersih?

Kredit: Daily Mirror

Di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Menjaga kebersihan mulut tidak sesusah manapun. Ikutilah langkah-langkah berikut:

  • Flos sebelum memberus gigi bagi memastikan tiada lagi sisa makanan terselit di celah gigi.
  • Berus gigi menggunakan ubat gigi berfluorida sekurang-kurangnya 2 kali sehari.
  • Jangan gunakan berus gigi yang sama melebihi 3 bulan.
  • Lakukan pemeriksaan berkala dengan doktor gigi.
  • Berhenti merokok.

Era Baru

ANDA JUGA MUNGKIN SUKA

Pilihan Editor

loading...