Pada 2 Oktober 2017, gambar yang dikeluarkan oleh Kane County Search and Rescue menunjukkan kenderaan yang dipandu oleh pasangan berusia dari Texas, diselamatkan setelah mengalami dehidrasi yang teruk tetapi berjaya mengharunginya selepas mereka terkandas selama enam hari di jalan yang sepi.

Jalan yang terletak di Grand Staircase-Escalante National Monument, Selatan Utah itu  tidak dapat dilalui oleh kereta sewa mereka. Penyudahnya, pasangan itu menamatkan perjalanan mereka di atas jalan berbatu pada 26 September semasa mengikuti arahan daripada aplikasi GPS. Mereka sebenarnya berniat untuk melawati Lake Powell.

Menurut Timbalan ketua Kane Country, Alan Alldredge, Helena Byler, 78 tahun, ditemui terbaring di atas jalan raya oleh seorang penternak yang sedang memeriksa lembunya di kawasan Grand Staircase-Escalante National Monument. Dia ketika itu mengalami kekeliruan dan hidrasi yang teruk.

Pasukan mencari dan menyelamat di atas helikopter kemudian mendapati suaminya, Gerald Byler, 76 tahun, berada di dalam treler untuk berlindung selepas melihat tanda SOS yang dibuat olehnya daripada batu dan bunga yang berdekatan. Dia juga mengalami hidrasi dan tidak dapat bergerak, tetapi boleh bercakap dengan penyelamat.

Gerald Byler dimasukkan ke hospital di St. George, dan keadaannya beransur baik di bawah jagaan unit pemulihan khusus neuro di Pusat Perubatan Wilayah Dixie, kata jurucakap hospital McKoye Mecham. Helena Byler hanya perlu tinggal satu malam di hospital.

Pasangan daripada Houston ini mungkin tidak dapat bertahan satu hari lagi di kawasan yang sangat jauh dan tiada liputan telefon bimbit. Mereka tidak mempunyai apa-apa makanan atau air, hanya minum daripada genangan air yang terbentuk di tanah selepas hujan.

“Ia satu cerita yang hebat,” kata Alldredge.

Pasangan itu meninggalkan motel mereka di pekan kecil Kanab, Utah, pada pagi 26 September lalu untuk bergerak ke Lake Powell dan menggunakan jalan tanah yang berbatu semasa mengikuti arahan daripada aplikasi pemetaan GPS, katanya.

Pasangan itu cuba untuk berpatah balik apabila mereka menyedari bahawa mereka sedang berada di jalan yang salah, tetapi mereka tidak dapat keluar.

Helena Byler berkata pada hari Jumaat dalam temu bual di hospital bahawa dia merasakan mereka berada di jalan yang salah, tetapi suaminya berkeras meneruskan perjalanan.

“Saya memberitahu Gerry, ‘Sayang, ini tidak betul.’ Dan dia berkata, ‘Tidak apa-apa’ … Dia mahu teruskan. Lihat, kita sebagai wanita memang lebih mengetahui apa yang terbaik, ” katanya sambil tertawa.

Selepas tayar pancit dan tersangkut, mereka menyedari bahawa aplikasi GPS membawa mereka ke jalan yang salah, dan bukannya tasik, kata Helena Byler.

Mereka mula berjalan di atas jalan dan menghabiskan malam pertama di kawasan terbuka ketika hujan dan petir melanda kawasan berdekatan, katanya.

Keesokan harinya, Gerald Byler tidak dapat berjalan, kakinya terlalu sakit, jadi Helena berjalan untuk mendapatkan bantuan.

“Kami terpaksa melakukan sesuatu mengenainya, jadi apabila GPS berkata 16 batu, saya berkata, ‘Saya boleh berjalan sejauh 16 batu,” kata Helena Byler. “Saya fikir saya akan melakukan apa yang saya lihat di dalam rancangan History Channel, meminum air kencing anda sendiri.”

Helena Byler terus berjalan untuk mendapatkan bantuan, tetapi sehingga lima hari kemudian dia tidak menemui sesiapa pun sehinggalah penternak itu menemuinya.

Para penyiasat percaya bahawa dia mungkin telah menghabiskan beberapa hari di dalam treler berhampiran tempat suaminya dijumpai. Gerald Byler berkata tidak ada haba atau air dalam treler, tetapi dia dilindungi daripada tiupan angin. Dia meletakkan tuala di sisi dengan harapan ia menjadi isyarat meminta bantuan.

Dia berkata dia tidak akan membiarkan pengalaman pahitnya itu menghalangnya daripada kembali ke Utah, tetapi berkata: “Tetapi saya akan membuat sedikit perancangan pada masa depan.”

Laluan terbaik untuk pergi ke Lake Powell dari Kanab adalah menggunakan lebuh raya, tetapi bukan kali pertama para pelancong telah terkandas di jalan-jalan tanah dan berbatu setelah mengikuti aplikasi pemetaan GPS yang dianggap sebagai jalan pintasan, kata Alldredge. Beliau berkata agensinya sering menyelamatkan pelancong yang terkandas di jalan raya.

“Aplikasi GPS sangat bagus, tetapi di luar bandar Utah, mereka kadang-kadang membuat anda berada di dalam masalah,” kata Alldredge.

Era Baru

Share
Kategori: Benua Amerika

Video Popular

Ad will display in 09 seconds