INSPIRASI, Pesona

Kerana banjir, guru sanggup kendong anak murid satu persatu demi keselamatan mereka

Kerana banjir, guru sanggup kendong anak murid satu persatu demi keselamatan mereka

Beberapa bulan sebelum ini, terdapat pelbagai isu antara guru, ibu bapa dengan anak-anak murid yang tidak enak didengar.

Terdapat kes pergaduhan antara ibu bapa dengan guru malah terdapat juga pergaduhan antara guru dengan anak-anak murid.

Ada yang tidak menghormat profesion seorang guru, ini kerana masyarakat secara umumnya kurang mengerti perngorbanan guru adalah besar bagi mendidik anak bangsa.

Baru-baru ini, Sekolah Kebangsaan Haji Abu Bakar, Alor Setar, Kedah, ditenggelami air akibat banjir besar berlaku.

Seawal 7:45 pagi, air sudah memasuki kawasan sekolah hingga menyebabkan bilik-bilik darjah Tahun 1 dan Tahun 2 terpaksa dipindahkan ke kelas tingkat atas.

Akibat kekalutan pada waktu tersebut, terdapat murid-murid yang masih kecil ini tertinggal bekal makanan dan wang, lantas meminta izin daripada guru untuk turun mengambilnya di bilik darjah.

Bimbang atas keselamatan anak-anak murid kesayangannya, seorang guru Pendidikan Jasmani, Farrah Norashikin, 35, mengendong anak muridnya satu persatu bagi mengambil barangan yang tertinggal.

“Saya takut depa main ayaq (air) sebab ada cikgu nampak ulaq (ular) berkeliaran di sekolah,” itulah kata-kata guru tersebut seperti yang dipetik daripada Harian Metro.

“Saya kemudian menawarkan diri mengendong lima murid dari dewan tempat berkumpul ke kelas mereka yang hanya terletak puluhan meter saja,” katanya lagi.

Hal ini demikian, beliau risau jika anak-anak muridnya terkena patukan ular atau apa-apa perkara tidak diiingini berlaku kepada mereka.

Terdapat juga beberapa murid yang malu dikendong, tetapi beliau menjelaskan keadaan itu adalah darurat bagi memastikan keselamatan mereka terpelihara.

Guru-guru juga terpaksa mengawal dengan ketat pergerakan para pelajar kerana murid-murid Tahun 1 kelihatan teruja ketika banjir besar itu berlaku.

Cikgu Farrah turut memberitahu, kejadian banjir disekolah ini bukanlah pertama kali berlaku malah setiap kali hujan, pasti akan berlaku banjir.

Beliau juga tidak menyangka gambar-gambarnya tular di media sosial dan beranggapan, tugasnya itu adalah tanggungjawab seorang guru terhadap anak muridnya.

Semoga sikap guru ini menjadi contoh dan juga murid-murid akan lebih menghormati dan menyanyangi guru  mereka.

Sumber foto: Ihsan Farrah Norashikin

Era Baru

 

Kategori:INSPIRASI Pesona

ANDA JUGA MUNGKIN SUKA

Pilihan Editor

loading...