INSPIRASI

Jika diberitahu harga kulat ini berharga RM210,000 sepaun, anda mungkin berbunuhan untuk mendapatkannya!

Jika diberitahu harga kulat ini berharga RM210,000 sepaun, anda mungkin berbunuhan untuk mendapatkannya!

Adakah anda tahu apakah kulat yang paling mahal di dunia? Jika jawapan anda adalah trufel ataupun cendawan Mattake, anda salah. Kulat termahal pada masa ini ialah kulat ulat beluncas yang sudah mati yang hanya hidup di banjaran Himalaya.

Harganya mampu mencecah USD50,000 (RM210,000) sepaun, jauh lebih tinggi berbanding harga termahal trufel yang dijual sekitar USD8,000 (RM33,600) sepaun. Kulat termahal ini lebih dikenali dengan nama Tibetnya iaitu yartsa gunbu atau bahasa saintifiknya ialah ophiocordyceps sinensis.

Ia mungkin kedengaran asing seakan-akan nama watak dalam filem Star Wars tetapi tafsiran langsung memberi makna ‘rumput musim panas, ulat musim sejuk’. Hakikatnya, ia bukanlah sejenis tumbuhan, bukan juga ianya tergolong dalam kumpulan haiwan.

Oleh kerana harganya yang mahal, kulat ini sering dijadikan hadiah sekaligus melambangkan status kekayaan seseorang.

Apakah sebenarnya kulat yartsa gunbu?

Kulat yartsa gunbu adalah sejenis parasit yang menjangkiti ulat beluncas daripada jenis rama-rama hantu. Di dataran tinggi Tibet dan banjaran Himalaya, ulat beluncas hidup di bawah tanah berumput alpin dan tanah renek pada altitud diantara 3,000 dan 5,000 m (9,800 dan 16,400 kaki).

Ulat  beluncas menjadikan akar yang menjalar di bawah tanah sebagai makanan dan terdedah kepada kulat apabila ulat ini bersalin kulit di penghujung musim panas. Penghujung musim panas juga merupakan waktu kulat membebaskan sporanya.

Apabila dijangkiti, ulat beluncas akan naik ke atas permukaan bumi secara menegak. Kulat pula mencerna isi jejentik dan lama kelamaan akan membunuhnya. Menjelang musim bunga, kulat yang menumpang pada badan ulat beluncas  muncul  dari kepala ulat beluncas yang sudah mati dan membiak menyerupai ranting bertangkai dan jelas kelihatan di atas permukaan tanah. Lazimnya, kulat yartsa gunbu hanya sebesar jari kelingking.

Pengumpul kulat yartsa gunbu

Sejak sedekad yang lalu, harga kulat yartsa gunbu meningkat ketara malah ia dikatakan lebih lumayan berbanding harga emas. Setahun sekali, penduduk kampung akan mengumpul kulat ini untuk dijadikan sumber pendapatan.

Mereka mula meninggalkan kampung masing-masing pada musim bunga menuju ke dataran tinggi alp untuk mencari yartsa gunbu selama beberapa minggu. Jika hasil tuaiannya baik, penduduk Nepal mampu memperolehi pendapatan tahunan sebanyak 3 kali ganda. Purata pendapatan tahunan penduduk kampung di sekitar kawasan ini ialah USD247 (RM1,037). Jadi tidak hairanlah jika penduduk kampung mengharapkan pengumpulan dan penjualan kulat dapat menjana pendapatan tambahan buat mereka. Di beberapa kawasan tertentu, harga seunit kulat sangat tinggi iaitu melebihi gaji harian seorang buruh kasar.

Oleh kerana kulat merupakan barangan bernilai, ianya juga boleh mencetuskan perbalahan sesama penduduk kampung. Pada November 2011, 11 orang penduduk kampung telah disabitkan kesalahan membunuh 7 orang petani yang keluar mencari kulat tersebut.

Yartsa gunbu sebagai komoditi utama

Apakah yang menyebabkan kulat ini mendapat permintaan tinggi? Mengapakah pula sesetengah orang sanggup mengeluarkan sejumlah wang yang banyak untuk mendapatkannya? Salah satu jawapannya ialah kulat ini merupakan salah satu bahan dalam perubatan Cina sejak sekian lama. Ianya didokumenkan buat pertama kali oleh seorang doktor dari Tibet pada abad ke-15 dalam karangannya yang bertajuk ‘Panduan Perubatan Yang Tidak Terkira Banyaknya’ (‘Instruction of a Myriad Medicines’). Yartsa gunbu dikatakan memberi keseimbangan yang baik diantara ying dan yang kerana ianya mengandungi elemen haiwan dan sayuran.

Sebab terpenting ianya menjadi buruan ramai ialah kulat ini merupakan lambang kekayaan seseorang. China ialah pasaran utama yartsa gunbu. Orang kaya di China menjadikan kulat ini sebagai hadiah kepada tetamu mereka, secara tidak langsung ianya menunjukkan pengaruh wang ringgit yang mereka miliki.

Sejak sedekad yang lalu, permintaan yartsa gunbu melonjak naik kerana lebih ramai orang yang menyedari akan manfaatnya. Selain itu, ekonomi rakyat China yang kini jauh lebih baik meningkatkan kemampuan mereka berbelanja sekaligus menjadikan kulat tersebut komoditi yang sangat berharga.

Kesan terhadap alam sekitar

Penuaian kulat boleh menjejaskan alam sekitar. Walaupun pengumpulan kulat telah dilakukan sejak berabad lamanya, aktiviti ini semakin mendapat perhatian dewasa ini. Kemungkinan kekurangan spora akan menyebabkan ulat beluncas yang dijangkiti juga berkurang maka berkuranglah juga yartsa gunbu yang dihasilkan.

Penuaian melampau telah menyebabkan ia diisytiharkan sebagai spesis terancam di China. Ketiadaan pemangsa pula akan merangsang pembiakan rama-rama dengan banyak.

Pemungut kulat juga meninggalkan kesan negatif kepada alam sekitar jika mereka membuang sampah merata-rata dan menebang banyak pokok untuk dijadikan bahan bakar sepanjang waktu pungutan.

Selain itu, perubahan iklim mengeringkan kawasan padang berumput dan semestinya memberi kesan negatif terhadap hasil tuaian. Kekurangan makanan akan menjejaskan kelangsungan hidup jejentik rama-rama sekaligus mengecilkan jumlah populasi haiwan itu.

Di China, kulat tersebut disemai di atas bijirin dan cecair, tetapi setakat ini tiada sesiapa pun yang mampu membiakkan kulat pada ulat beluncas. Jika para penuai mahu memastikan yang kulat berharga ini masih lagi boleh diperolehi pada masa hadapan, penuaian pada masa ini haruslah dijalankan berpada-pada dan pastikan ada kulat yang ditinggalkan agar spora dapat dibebaskan.

Era Baru

Kategori:INSPIRASI

ANDA JUGA MUNGKIN SUKA

Pilihan Editor

loading...