GAYA HIDUP, KESIHATAN

Kanak-kanak ini hampir maut setelah menikmati mi soba di sebuah restoran. Apakah puncanya yang sebenar?

Kanak-kanak ini hampir maut setelah menikmati mi soba di sebuah restoran. Apakah puncanya yang sebenar?

Pada 7 Oktober lalu, satu status mengenai seorang lelaki yang hampir kehilangan anak lelakinya di laman sosial Facebook menjadi tular. Sehingga kini, siaran tersebut berjaya meraih 11,000 jumlah ‘like’ dengan 30,718 kali ‘share’.

Steve Ong yang merupakan warga Singapura dikatakan sedang menikmati makan malam bersama anak lelakinya Braxton. Namun secara tiba-tiba, Braxton mengalami sesak nafas dan batuk yang teruk. Keadaannya yang sangat teruk dan hampir berada di ambang maut ini adalah berpunca daripada alergi gandum kuda atau dalam bahasa Inggeris, buckwheat.

Ikuti luahan Steve Ong ini:

“Saya hampir kehilangan anak lelaki saya pada hari ini.

Semasa makan malam, Braxton menikmati mi soba dan buah oren. Beberapa minit kemudian, mata dan bibirnya bertukar kemerahan manakala perutnya mula mengembung. Menurut sangkaan isteri saya, ia adalah kesan daripada pengambilan ubat memandangkan Braxton sakit beberapa hari lalu.

Namun begitu, keadaan menjadi semakin rumit. Dia mula batuk dengan agak teruk dan mengalami sesak nafas. Merasakan ada sesuatu yang tidak kena, isteri saya segera membawa dia ke klinik yang terletak di dalam pusat beli-belah (nasib baik klinik masih dibuka) untuk mendapatkan rawatan kecemasan.

Dr. Lai Yirong daripada Physicians Practice Family Medical Centre yang mendengar bunyi batuk Brax yang aneh segera keluar daripada biliknya untuk melihat keadaan Brax. Saluran pernafasannya telah membengkak dan menyekat kemasukan bekalan oksigen. Ia adalah keadaan antara hidup dan mati.

Dr. Lai segera menjalankan rawatan ke atas Brax tetapi dia tidak memberikan sebarang maklum balas dan sedang berada dalam keadaan separuh sedar.

“Kejut dia! Jangan biarkan dia tidur!” pinta Dr. Lai kepada isteri saya. Situasi pada waktu tersebut sangat tegang dan Dr. Lai telah melakukan sebaik mungkin untuk membolehkan Brax boleh bernafas semula.

Akhirnya, keadaan Brax semakin baik setelah diberikan bantuan nebulizer. Anak saya berjaya diselamatkan dan sedang beransur pulih. Kini dia sedang ditempatkan di dalam wad untuk pemerhatian lanjut dan ujian alahan.

Kepada semua ibu bapa, kita telah saksikan bagaimana reaksi alahan boleh menggugat nyawa seseorang. Puncanya adalah berkemungkinan daripada mi soba (mengandungi gandum kuda) yang dilaporkan telah meragut beberapa nyawa di Jepun dan juga United Kingdom. Jika anak-anak anda mencuba soba untuk pertama kalinya, sila berikan perhatian lebih.

Akhir sekali, kami sangat terhutang budi kepada Dr. Lai Yirong. Dia berjaya menyelamatkan Brax.

*Saya ada menerima permintaan daripada rakan-rakan untuk kongsikan status ini. Silakan berbuat demikian bagi meningkatkan tahap kesedaran ramai. Terima kasih!”

*Alahan gandum kuda*

Kredit: huffingtonpost

Gandum kuda atau buckwheat merupakan bahan yang sering digunakan untuk membuat soba (mi Jepun), guksu (mi Korea), memilmuk (jeli Korea), bubur bijirin (Asia dan Eropah Timur), pizzoccheri (pasta Itali) dan sebagainya.

Walaupun memiliki pelbagai khasiat, gandum kuda ini boleh mengakibatkan pelbagai alahan. Menurut US National Library of Medicine, terdapat dua kes berkenaan alahan terhadap gandum kuda ini berlaku di United Kingdom.

Kes yang pertama melibatkan seorang lelaki berusia 57 tahun yang dikatakan mengalami anafilaksis setelah memakan roti yang diperbuat daripada gandum kuda. Antara simptomnya adalah timbul ruam gatal, masalah pernafasan, tekanan darah menjadi rendah dan muntah-muntah.

Kes kedua pula melibatkan seorang wanita 63 tahun yang mengalami bronchospasm (masalah pernafasan) dan urticaria (kegatalan) yang juga berpunca daripada pengambilan gandum kuda.

Jadi, sentiasa berhati-hati dan pilih makanan berkhasiat lain.

Era Baru

ANDA JUGA MUNGKIN SUKA

Pilihan Editor

loading...