Perenang dari Hungary, Katinka Hosszu terkenal di seluruh dunia kerana telah berjaya mencipta rekod Olimpik yang baru pada Sukan Olimpik di Rio de Janeiro pada tahun lalu dengan membawa pulang 3 pingat emas dan satu perak dalam acara renang.

Di sebalik kejayaannya itu, Katinka mendapat sokongan yang padu dari suami dan juga jurulatihnya , Shane Tusup.  

Shane begitu menyanjungi Katinka sehingga sanggup mencacah tatu di bisepnya dengan tulisan ‘Iron Lady’, nama jolokan yang diberikan oleh dunia kepada Katinka Hosszu.

Perhatian dunia sememangnya ditujukan kepada kejayaan Katinka, tetapi dunia lebih menumpukan kepada reaksi dan emosi suami Katinka, Shane yang beraksi cemerlang dalam memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada Katinka.

Pada tahun lalu, ketika Sukan Olimpik berlangsung, Shane telah menjadi bualan penonton sukan itu dan netizen di Twitter telah memberikan komen terhadap reaksi terlampau Shane yang agak emosional dan kelihatan terlebih bersungguh-sungguh terhadap isterinya, Katinka.

Seorang netizen memberi komen berbunyi, “Suami Katinka Hosszu menjadi idaman semua. Saya teringin mempunyai seseorang yang akan menyokong saya seperti itu.”

Ada yang memberi komen, “Saya mahu bersorak seperti mana suami Katinka Hosszu.”

Dalam ramai yang berasa terharu dengan sokongan jitu antara satu sama lain oleh pasangan ini terutama dari suami merangkap jurulatih yang begitu penyayang dan prihatin, ada yang menyoal sama ada kejayaaan yang dicipta oleh Katinka itu datang dari ketakutan atau keyakinan di dalam dirinya.

Memandangkan reaksi Shane apabila Katinka tewas amatlah keterlaluan dan menakutkan.

Semasa sukan berlangsung, Katinka telah terlepas memecahkan rekod dunia dalam acara 400 meter.

Rakaman menunjukkan Shane merasa kecewa dan menggenggam penumbuknya sebelum melepaskannya ke udara dalam keadaan marah.

Satu rakaman pada bulan Disember 2015 menunjukkan reaksi agresif Shane apabila Katinka telah tewas dalam satu kejohanan dunia. Shane dilihat telah membaling topinya ke lantai dan menyepak pembahagi gelanggang dengan keadaan marah dan kecewa.

Katinka Hosszu memberitahu The New York Times, “Shane seorang jurulatih yang sangat tegas semasa sesi latihan dan kejohanan. Tetapi apabila berada di rumah, beliau sangat lembut, baik hati, penyayang dan sangat lucu.”

Katinka menyifatkan perhubungan mereka sebagai sesuatu yang sangat rumit dan sukar dijelaskan.

Katinka menambah, “Shane bertindak begitu kerana kami telah menetapkan satu tujuan untuk dicapai. Kami mesti mencapai satu tujuan itu dan apabila ia telah berjaya dicapai, itu antara penyebab Shane menjadi begitu beremosi.”

Katanya lagi, “Kami sentiasa menolak dan menyokong satu sama lain. Saya rasa kami berusaha bersungguh-sungguh untuk mencuba mencapai sesuatu dan akan bertindak mengenepikan perkara lain demi mencapai satu tujuan dan impian.”

Katinka berkata lagi, “Sekiranya kami bertengkar, kami akan cuba menyelesaikannya dan mencari jalan. Apabila kami bertengkar dan Shane mengeluarkan perkataan kesat semasa dalam latihan dan kejohanan, saya sentiasa tahu dia bercakap sebagai seorang jurulatih dan saya tidak pernah mengambil hati akannya.”

Tetapi ramai yang tidak menyenangi cara latihan Shane terhadap Katinka yang dianggap tidak bersesuaian dan kadangkala menakutkan.

Pasangan ini telah bertemu di Universiti California Selatan, Amerika Syarikat semasa mereka menuntut di sana. Katinka telah menawarkan Shane untuk menjadi jurulatihnya pada tahun 2012.

Mereka telah berkahwin pada tahun 2013.

Tetapi Shane Tusup tetap mempertahankan cara latihannya terhadap Katinka dan tidak pernah menganggap dirinya sebagai pembuli.

Shane berkata, “Saya tahu ada suara sumbang yang mengatakan cara saya menjerit dengan kasar kepada Katinka tidak bersesuaian apabila beliau tewas dan tidak dapat berenang laju. Tetapi, sebenarnya tidak. Perkara yang paling sukar di dalam sukan renang ialah ada banyak masanya kami boleh berpuas hati dengan renangan yang baik. Dan kami telah bersetuju, kami tidak mahu berpuas hati dengan renangan yang baik dan tidak mencapai tujuan.”

Kata Shane lagi, “Kami mahu terus berusaha melakukan sesuatu dengan satu pencapaian yang terbaik. Dan apabila kami tidak dapat mencapainya, kami telah melakukan yang terbaik, menjadi hebat dan diberikan gelaran legenda.”

Walaupun cara Shane melayani dan melatih Katinka dilihat agak keterlaluan dan melampau, Katinka tidak pernah berasa terkesan. Beliau menerima cara Shane dan tidak pernah berasa terganggu dengan cara Shane yang agak kasar.

Walaupun begitu, cara Shane yang agresif itu sebenarnya agak menganggu perenang dan jurulatih lain yang berasa tidak selesa dengan reaksi keterlaluan Shane apabila berada di tepi arena renang. Namun rasanya tidak salah sekiranya Shane Tusup mahu memberikan sepenuh sokongan moral dan motivasi kepada anak didik dan isterinya.

Era Baru

Share

Video Popular

Ad will display in 09 seconds