Jika anda mempunyai berat badan berlebihan ditambah pula dengan sejarah keluarga yang menghidap kencing manis, anda perlu lebih berwaspada!

Jika tidak mendapatkan rawatan yang betul, kencing manis atau diabetes boleh mengakibatkan masalah kesihatan yang serius. Seseorang pesakit kencing manis tahap 2 misalnya mengalami rintangan insulin atau kekurangan insulin dalam badan.

Diabetes tidak boleh disembuhkan, namun pengurusan kesihatan melalui penjagaan pola pemakanan dan senaman dapat mengawal kadar gula di dalam badan. Mengurangkan pemakanan berkarbohidrat dan tinggi lemak mampu menghasilkan keputusan kesihatan yang baik.

Menurut Persatuan Diabetes Amerika (American Diabetes Association), seramai 8 juta rakyat Amerika dilaporkan tidak merawat penyakit kencing manis mereka. Jalanilah gaya hidup sihat – lakukan pemeriksaan kesihatan berkala, kawal pola pemakanan dan jangan lupa bersenam.

Mencegah lebih baik daripada merawat. Selain itu, terdapat juga beberapa tanda awal seseorang sedang mengalami rintangan insulin atau diabetes.

Mari kita semak senarai di bawah.

#1. Kehausan dan kelaparan melampau

Polidipsia atau kehausan melampau adalah gejala yang seringkali terlepas pandang oleh pesakit diabetes tahap 2. Orang selalunya beranggapan cuaca panas menyebabkan tekak mereka terasa kering.

Hakikatnya, jika badan anda mengalami limpahan glukosa berlebihan, buah pinggang anda terpaksa bekerja lebih keras seterusnya menyebabkan anda merasa dahaga.

#2. Kerap membuang air kecil

Adakah anda kerap kencing terutamanya pada waktu malam? Menurut pakar perubatan, badan seseorang yang tidak menghasilkan insulin yang mencukupi akan mengakibatkan glukosa berkumpul di dalam aliran darah dan dikeluarkan dari badan sebagai air kencing.

#3. Masalah kulit

Lebihan glukosa di dalam badan boleh menjejaskan kesihatan kulit seperti kulit menjadi sangat kering dan gatal. Terdapat juga kutil disekeliling mata dan bahagian badan yang lain.

Selain itu, kulit menebal dan bertukar warna menjadi agak gelap dibeberapa bahagian badan seperti belakang leher dan pangkal paha.

#4. Kehilangan berat badan tanpa sebab yang boleh dijelaskan

Walaupun kehilangan berat badan lebih cenderung berlaku kepada pesakit diabetes tahap 1, ianya juga merupakan antara tanda awal pesakit diabetes tahap 2. Apabila badan seseorang bersusah payah menghasilkan insulin, sel badan tidak dapat menggunakan glukosa daripada sumber makanan untuk menghasilkan tenaga.

Justeru, sel lemak akan terpecah dan mendorong seseorang kehilangan berat badan mendadak.

#5. Penglihatan kabur

Jika anda berasa penglihatan semakin kabur, anda harus membuat pemeriksaan mata. Pengumpulan glukosa pada lensa mata kemungkinan disebabkan oleh kandungan gula dalam darah yang tinggi.

#6. Luka lambat sembuh dan mudah dijangkiti kuman

Tahap gula yang tinggi dalam darah melemahkan daya ketahanan badan seterusnya menyebabkan seseorang mudah dijangkiti kuman. Bagi kaum wanita, kandida (jangkitan kulat di beberapa bahagian badan) juga merujuk kepada petanda awal penyakit kencing manis.

Selain itu, luka dan lecetan mengambil masa yang lama untuk sembuh.

#7. Terasa nyeri pada tangan dan kebas kaki

Tangan dan kaki yang terasa mencucuk dan kebas terjadi berikutan kerosakan saraf disebabkan oleh diabetes. Tangan dan kaki juga terdedah kepada kesakitan yang melepuh.

Jika anda telah mula mengalami beberapa gejala awal ini, eloklah berjumpa doktor untuk membuat pemeriksaan atau sekurang-kurangnya menjalani ujian darah di farmasi. Anda perlu mendapatkan pengesahan daripada pakar perubatan bertauliah untuk mengetahui tahap kesihatan anda.

Era Baru

Maybe you're interested :

Share
Kategori: KESIHATAN

Video Popular

Ad will display in 09 seconds