GLOBAL, VIDEO

Rakyat Mexico dilanda kesedihan sekali lagi selepas gempa kali kedua terkuat melanda ibu negara itu

Rakyat Mexico dilanda kesedihan sekali lagi selepas gempa kali kedua terkuat melanda ibu negara itu
Satu gempa bumi yang bermagnitud 7.1 telah melanda Mexico pada tengah hari Selasa, 19 September 2017 telah menyebabkan banyak bangunan runtuh dan musnah. (Foto komposit)

Mexico – Satu gempa bumi yang bermagnitud 7.1 telah melanda Mexico pada tengah hari Selasa, 19 September 2017 telah menyebabkan banyak bangunan runtuh dan musnah dan ramai orang membanjiri jalan pada kali kedua hanya dalam masa dua minggu selepas gempa pertama berlaku pada 7 September 2017.

Sebuah bangunan yang runtuh selepas gempa melanda Mexico City pada hari Selasa

Kredit: Ronaldo Schemidt / Agence France-Presse – Getty Images

Pada waktu malam, hampir 140 orang di seluruh negara dilaporkan terbunuh termasuklah mereka yang berada di negeri Morelos, berdekatan dengan pusat gempa itu dan berpuluh-puluh lagi mangsa di ibu negara. Namun begitu, jumlah mangsa terbunuh dijangka meningkat kerana para penyelamat masih berusaha sedaya upaya untuk menggali keluar mangsa yang terperangkap di bawah timbunan runtuhan itu.

Gempa bumi tersebut melanda sejurus pada pukul 1 petang kira-kira 100 batu dari bandar Mexico. Catatan magnitud awal menunjukkan skala 7.1 yang mana telah menyebabkan gegaran yang kuat dan berpanjangan di ibu negara.

Lebih daripada 40 bangunan dan binaan lain yang terdapat di bandar Mexico runtuh, termasuklah 2 buah sekolah dan menurut pegawai, runtuhan tersebut telah menghancurkan kereta dan beberapa orang terperangkap di dalamnya.

Pekerja kecemasan dan orang awam masing-masing berkejaran ke tapak kejadian untuk membantu mengalihkan runtuhan dengan menggunakan tangan mereka sebagai percubaan untuk menyelamatkan sesiapa sahaja yang terperangkap dalam runtuhan tersebut.

Sebuah video dimuat naik oleh Enrique Acevedo di Twitternya dengan kapsyen “Video ini menunjukkan keruntuhan sebahagian daripada bangunan Setiausaha Buruh. Saya tidak mempunyai lokasi yang tepat.”

Gempa bumi melanda pada Selasa lalu kebetulan jatuh pada ulang tahun ke-32 bencana utama iaitu gempa bumi pada tahun 1985 yang mengorbankan seramai 10,000 orang di Mexico.

Gempa yang berlaku kurang dari dua minggu selepas gempa bumi yang paling kuat melanda Mexico sepanjang abad dengan catatan magnitud 8.1 itu telah membunuh sekurang-kurangnya 90 orang, memusnahkan ribuan rumah dan keperitan itu dapat dirasakan oleh puluhan juta orang.

Penduduk di bandar Mexico yang baru sahaja berhadapan dengan gegaran gempa sebelum ini berkata, gempa pada hari Selasa itu merupakan gegaran yang paling teruk sekali.

“Keadaan itu seperti Tuhan marah kepada kita,” kata Jorge Ortiz Diaz, 66, pekerja kerajaan yang membantu menyelamatkan diri pada hari Selasa. “Sekarang adalah saat perpaduan bermula.” Katanya yang cuba menahan sebak melihat kejadian yang berlaku di hadapan matanya.

Kesan gempa bumi itu dapat dilihat di bahagian bandar yang lain seperti kerosakan di lapangan terbang utama. Kaca yang pecah dan serpihan runtuhan bangunan bertaburan di kaki lima.

Hampir semua penduduk di ibu negara masih berada di luar dan tidak pulang ke bangunan masing-masing kerana masih diselubungi perasaan takut walaupun selepas gempa itu telah berakhir.

Di kawasan kejiranan Roma Norte, terdapat sebuah pejabat yang telah runtuh sepenuhnya. Penyelamat berebut untuk menyelamatkan orang yang terperangkap dalam runtuhan tersebut dan beberapa mangsa yang cedera dibawa menaiki ambulans.

Selain itu, kelihatan mangsa lain bergelimpangan di atas tanah yang ditutupi debu. Namun begitu, jumlah mangsa yang sama ada masih terperangkap atau hancur di dalam pejabat itu tidak diketahui.

Ketika gempa berlaku, Talia Hernández, 28, yang berada di tingkat dua bangunan itu sedang menghadiri kelas tatu. Menurutnya ketika bangunan itu mulai runtuh, dia jatuh tergolek di atas tangga namun masih berjaya melarikan diri biarpun kakinya patah.

“Saya tidak boleh percaya bahawa saya masih hidup,” katanya sambil menangis dan masih terkejut ketika pegawai perubatan menarik serpihan kaca dari kakinya.

Orang ramai membersihkan runtuhan bangunan yang rosak di bandar Mexico selepas gempa bumi besar melanda pada Selasa, yang merupakan gempa kedua melanda negara dalam masa kurang dari dua minggu.

Kredit: Alfredo Estrella / Agence France-Presse – Getty Images

Cik Hernández berkata orang lain juga berjaya melarikan diri, tetapi sempadan bangunan masih berbahaya. Bau gas bocor yang kuat meresap ke dalam udara kerana ia merentasi bahagian yang rosak di bandar. Kakitangan kecemasan di tempat kejadian telah meminta orang ramai beredar kerana bimbang akan berlaku letupan.

Menurut Angela Cota, 52, setiausaha pentadbiran yang bekerja di bangunan di tingkat pertama, sebaik sahaja dia dan orang lain cuba melarikan diri, sebahagian bangunan jatuh di sekeliling mereka. Walau bagaimanapun, mereka berjaya juga keluar tetapi tidak jelas berapa ramai orang yang masih lagi terperangkap di bawah runtuhan.

Mangsa yang berlumuran dengan darah iaitu Gabriela Hernández, 28 terbaring di atas katil kecemasan dan langsung tidak bersuara. Selepas diperiksa ternyata darah itu bukan miliknya dan mungkin ia milik seseorang yang jatuh di atasnya ketika bangunan itu runtuh. Dia berkata ketika kejadian berlaku, dia berada di tingkat enam tetapi berjaya melarikan diri.

Peristiwa pahit itu menjadi semakin kelam-kabut apabila berpuluh-puluh pekerja perubatan, pegawai polis dan ahli bomba menjerit antara satu sama lain untuk melihat siapa lagi yang memerlukan bantuan. Mereka juga cuba menyelamatkan mangsa yang terperangkap di atas puncak timbunan runtuhan. Pekerja pembinaan dari tapak berdekatan berlumba-lumba ke tempat kejadian dan sedia membantu untuk mengangkat serpihan runtuhan.

Di Laredo Street, sebuah bangunan pangsapuri lapan tingkat telah runtuh dan meninggalkan timbunan konkrit dan serpihan runtuhan di atas jalan. Sekurang-kurangnya 100 orang berdiri di atas timbunan runtuhan berusaha untuk membersihkannya dengan menggunakan tangan mereka menghantar sekeping demi sekeping serpihan runtuhan.

Dalam keadaan yang kalut itu, terdengar suara orang yang terperangkap dalam runtuhan itu menjerit meminta tolong. Salomon Chertorivski yang merupakan setiausaha pembangunan ekonomi bandar Mexico berkata, dia percaya bahawa 10 orang terperangkap dalam bangunan itu. Untuk memudahkan lagi proses menyelamat, mereka menggunakan jengkaut untuk menggali runtuhan tersebut disamping helikopter sudah menunggu untuk menyambut mangsa dari bawah.

Semua orang berusaha sedaya upaya untuk menyelamatkan mangsa yang masih lagi terperangkap di bawah timbunan runtuhan tersebut. Tidak kurang juga orang lain yang melewati kawasan kejadian turut menghulurkan bantuan. Di saat ini jelas semangat perpaduan begitu kuat antara mereka.

Seorang lelaki yang cedera ditarik keluar dari bangunan runtuh di kejiranan Roma Norte di Mexico City. 

Kredit Rebecca Blackwell / Associated Press

Walaupun jarak antara gempa yang berlaku pada 7 September dan 19 September itu melebihi 254 kilometer, namun kedua-duanya telah menyebabkan kerak bumi, Cocos, bergerak meluncur di bawah bahagian Amerika Utara yang lain.

Paul Earle, seorang ahli seismologi dengan Kajian Geologi Amerika Syarikat berkata, ianya terlalu awal untuk mengatakan sama ada terdapat sebarang hubungan antara dua gempa itu. Walaupun gempa yang pertama lebih kuat, namun gempa yang berlaku pada hari Selasa itu lebih hampir dengan bandar Mexico dan menyebabkan lebih banyak kerosakan berlaku di ibu negara itu.

Terdapat juga laporan mengenai kematian dan kerosakan yang meluas berlaku di Jojutla de Juarez, Morelos, sebuah bandar kira-kira 60 kilometer di barat pusat gempa itu. Penduduk mengatakan bahawa banyak bangunan termasuk perniagaan dan rumah telah musnah. Bekalan elektrik terputus manakala bekalan air tidak mencukupi kerana kebanyakan tangki air yang terletak di atas tanah retak dan pecah.

Orang yang dipindahkan dari bangunan pejabat semasa gempa berkumpul di Reforma Avenue di ibu negara

Kredit: Rebecca Blackwell / Associated Press

Presiden Enrique Peña Nieto berkata di Twitter bahawa dia dalam perjalanan ke Oaxaca untuk menghadiri majlis peringatan bagi mereka yang terbunuh dalam gempa bumi tahun 1985 bergegas pulang ke bandar Mexico sebaik sahaja diberitahu tentang gempa yang berlaku.

Rakyat Mexico dilanda kesedihan kerana masih ramai lagi mangsa yang terperangkap dalam runtuhan dan semua orang tidak putus-putus memberikan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

Hasilnya lebih banyak mangsa yang terselamat daripada serpihan runtuhan dan antaranya ialah Ernesto Sota Senderos, seorang jurutera berusia 64 tahun berjaya diselamatkan walaupun ketika itu dia tidak sedarkan diri. Tetapi malang sekali kerana anaknya masih lagi terperangkap di dalam bangunan. Orang lain juga berteriak meminta para penyelamat menolong menyelamatkan orang kesayangan mereka yang terperangkap dalam runtuhan tersebut.

Era Baru

Kategori:GLOBAL VIDEO

ANDA JUGA MUNGKIN SUKA

Pilihan Editor

loading...