Asia

6 perkara tentang wanita Melayu pertama yang menjadi Presiden Singapura, Halimah Yacob

6 perkara tentang wanita Melayu pertama yang menjadi Presiden Singapura, Halimah Yacob
Halimah Yacob menjadi wanita Melayu pertama yang menjadi Presiden Singapura. (Foto: The New Paper)

SINGAPURA – Singapura buat pertama kalinya menyaksikan seorang wanita merangkul jawatan sebagai Presiden sekali gus menerajui kepimpinan negara republik itu.

Kredit: Phyllicia Wang/The New Paper

Halimah diisytiharkan menang selepas menjadi satu-satunya calon yang berjaya menghantar Sijil Kelayakan oleh Jawatankuasa Pilihan Raya Presiden pada 11 September lalu.

Dua lagi calon iaitu Farid Khan, 61 tahun yang juga pengarah Bourbon Offshore Asia Pacific dan Mohamed Salleh Merican, 67 tahun, ketua eksekutif Second Chance Properties mengesahkan bahawa permohonan mereka telah ditolak.

Pada 13 September, Pegawai Pilihan Raya, Ng Wai Choong telah mengisytiharkan Halimah Yacob sebagai presiden selepas berjaya melalui prosiding pencalonan. Pengisytiharaan tersebut dibuat selepas pencalonan ditutup pada jam 12 tengah hari di pusat penamaan calon di Ibu Pejabat Persatuan Rakyat, Jalan Besar, Singapura.

Pilihan raya yang dilaksanakan pada tahun ini agak unik kerana menampilkan seorang wakil daripada kumpulan minoriti di Singapura iaitu kaum Melayu.

Pada tahun lalu, model pilihan raya telah digubal di mana ahli daripada kumpulan bangsa tertentu yang tidak dilantik sebagai Presiden selepas lima penggal akan dinamakan sebagai calon bagi pilihan raya Presiden yang seterusnya.

“Setiap rakyat sama ada Cina, India, Melayu dan bangsa lain perlu tahu bahawa setiap wakil daripada bangsa masing-masing boleh menjadi Presiden,” kata Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong.

Singapura sudah tidak dipimpin oleh presiden berbangsa Melayu semenjak Tun Haji Yusof bin Ishak menjadi presiden pertama selepas kemerdekaan Singapura pada 1965. Beliau telah berkhidmat selama tiga penggal iaitu sehingga 1970.

Kini, nama Halimah Yacob naik sebagai presiden Melayu sekali gus menjadi wanita Melayu pertama yang menjadi Presiden Singapura. Mari ketahui 6 perkara menarik tentang beliau.

#1 Bapa Halimah merupakan seorang pengawal dan telah meninggal dunia ketika Halimah berusia lapan tahun

Kredit: Berita Harian via Straits Times

Dilahirkan pada tanggal 23 Ogos 1954 di Jalan Permaisuri, Singapura. Arwah merupakan keturunan India manakala ibunya pula berbangsa Melayu. Halimah merupakan anak bongsu daripada lima beradik.

Mereka sekeluarga pernah tinggal di sebuah flat dengan satu bilik di Jalan Hindoo. Menurut satu laporan oleh Straits Times, Halimah sering membantu ibunya berniaga Nasi Padang semenjak kecil.

#2 Pernah digelar “Permaisuri Ponteng Kelas”

Kredit: Business Times via Straits Times

Melalui satu temubual dengan Channel NewsAsia, Halimah menceritakan pengalamannya hampir dibuang sekolah kerana sering ponteng kelas memandangkan dia perlu membantu ibunya menyara keluarga dengan berniaga.

Semenjak peristiwa tersebut, Halimah memutuskan untuk berubah menjadi pelajar yang lebih baik. Dia menyambung pelajarannya di Universiti Singapura dalam jurusan undang-undang.

Halimah kemudian meneruskan pembelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana (Master) di Universiti Kebangsaan Singapura (NUS) pada tahun 2001. 15 tahun kemudian, beliau dianugerahkan dengan ijazah kedoktoran (PhD).

#3 Halimah sahaja yang melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti dalam keluarganya

Kredit: Berita Harian via Straits Times

Halimah sentiasa belajar bersungguh-sungguh supaya dapat melanjutkan pelajaran sehingga ke menara gading. Selain mendapat bantuan pembelajaran sebanyak RM3,127 setahun daripada Majlis Agama Islam Singapura, abangnya yang bekerja sebagai pegawai penjara turut membantu meringankan beban kehidupan Halimah di universiti dengan memberikannya wang belanja sebanyak RM156 sebulan.

Di samping itu, Halimah turut pernah melakukan pekerjaan sebagai kerani perpustakaan semasa cuti semester bagi menampung perbelanjaan dirinya di universiti.

#4 Menceburi bidang politik pada tahun 2001 setelah dilantik sebagai ahli parlimen bagi wakil pengundi Kumpulan Jurong

Kredit: Straits Times

Pada tahun 2011, beliau dilantik sebagai Menteri Dalam Negeri di Kementerian Pembangunan Masyarakat, Belia dan Sukan. November 2012 pula menyaksikan penstrukturan semula kementerian dan Halimah memegang portfolio sebagai Menteri Dalam Negeri di Kementerian Pembangunan Keluarga dan Sosial.

#5 Menjadi Speaker Parlimen wanita yang pertama di Singapura pada 2013

Kredit: Straits Times

Empat tahun lalu iaitu pada 14 Januari 2013, Halimah telah dilantik sebagai Speaker Parlimen.

“Semasa saya menjadi Speaker, ramai yang sangat gembira terutamanya kaum wanita. Mereka ternyata sangat gembira dan berbangga kerana mempunyai speaker wanita yang pertama”.

#6 Halimah masih tinggal di sebuah flat lima bilik di Yishun walaupun telah menjadi Presiden

Kredit: Lianhe Zaobao/Straits Times

Walaupun ramai yang mempersoalkan tindakannya yang ingin terus menetap di rumah flat, Halimah menegaskan bahawa dia akan terus tinggal di sana walaupun setelah menjadi Presiden Singapura.

“Lebih daripada 80% populasi penduduk Singapura tinggal di rumah flat. Jika ianya cukup baik bagi mereka, maka ia juga baik bagi saya”.

Beliau kini tinggal bersama suaminya, usahawan Mohammed Abdullah Alhabshee, 62 tahun bersama tiga daripada lima anak mereka. Halimah turut memaklumkan bahawa mereka sekeluarga melakukan pekerjaan rumah dan tidak mempunyai pembantu.

“Saya berjanji akan melakukan yang terbaik untuk berkhidmat kepada rakyat Singapura. Saya adalah presiden untuk semua orang. Walaupun pilihanraya ini khusus, saya bukan presiden yang khusus”.

Sememangnya pemimpin yang berjiwa rakyat. Tidak hairanlah mengapa rakyat Singapura memilih wanita hebat ini sebagai presiden.

Sumber: SAYS

Kategori:Asia

ANDA JUGA MUNGKIN SUKA

Pilihan Editor

loading...