NASIONAL, VIDEO

JPJ: Semua kenderaan termasuk kereta atau motosikal dilarang menggunakan lorong kecemasan

JPJ: Semua kenderaan termasuk kereta atau motosikal dilarang menggunakan lorong kecemasan
JPJ berkata lorong kecemasan hanya untuk tujuan kecemasan dan hanya pihak berkuasa sahaja boleh menggunakan laluan tersebut. Mana-mana kenderaan termasuk motosikal tidak dibenarkan menggunakannya. (Facebook)

KUALA LUMPUR – Baru-baru ini satu video telah viral di media sosial yang menunjukkan sebuah kereta menggunakan lorong kecemasan hingga nyaris menyebabkan pengguna motosikal yang menggunakan laluan tersebut mengalami kemalangan.

Isu ini bertambah hangat dan menimbulkan kemarahan netizen apabila seorang lelaki mengeluarkan kenyataannya yang menyokong penggunaan lorong kecemasan oleh kereta  itu.

“Itu lorong kecemasan, bukan lorong motosikal. Motor tak ada hak nak marah kereta. 

“Tak muncul lagi signboard (papan tanda) dilarang melalui lorong kecemasan,”kata lelaki berkenaan.

Netizen yang marah terhadap kenyataan lelaki tersebut terutamanya penunggang motosikal mempersoalkan jalan mana yang perlu penunggang motosikal harus gunakan sekiranya laluan kecemasan tidak boleh digunakan oleh mereka.

Berikut merupakan respon netizen yang marah terhadap kenyataan lelaki tersebut:

“Dah tu motor nak lalu mana? Lompat-lompat atas kereta ke apa?”

“Kalau motor lalu lorong kecemasan pun boleh kena himpit, cuba bayangkan kalau motor lalu kat tengah jalan, mesti kena sodok,” kata seorang lagi netizen.

Seorang  lagi netizen turut marah dan bercerita tentang pengalamannya bersama keluarganya yang nyaris terlibat dalam satu kemalangan akibat tindakan pemandu kereta yang menggunakan lorong kecemasan.

“Kau ni dah menyusahkan orang. Disebabkan pemandu yang tak ada perasaan macam kau ni lah, aku dan keluarga nyaris nak kemalangan raya puasa lepas.

“Dah lah lalu kat laluan kecemasan, bawa macam nak lumba keta. Jenis manusia ‘sampah’ macam korang semua ni lah yang boleh membunuh pemandu lain,” katanya.

Berikutan pendebatan isu ini, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman berkata, lorong kecemasan hanya untuk tujuan kecemasan dan hanya pihak berkuasa sahaja boleh menggunakan laluan tersebut.

“Mana-mana kenderaan termasuk motosikal tidak dibenarkan menggunakan lorong kecemasan,” katanya.

Wan Ahmad Uzir turut berkata, Akta JPJ 1987 boleh diguna pakai  untuk mendakwa mana-mana pengguna jalan raya yang didapati menyalahgunakan laluan kecemasan.

“Mereka yang disabitkan bersalah boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Era Baru

Kategori:NASIONAL VIDEO

ANDA JUGA MUNGKIN SUKA

Pilihan Editor

loading...