KESIHATAN

Orang kata…tepung gandum boleh kurangkan pedih dan elak kesan melecur, benarkah?

Orang kata…tepung gandum boleh kurangkan pedih dan elak kesan melecur, benarkah?

Dah namanya pun netizen, sesiapa sahaja berhak berkongsi dan bebas menulis apa-apa sahaja yang terlintas di benak fikiran tanpa memerlukan sebarang tauliah. Tetapi ada ketikanya perkongsian yang melibatkan urusan kesihatan dan rawatan penyakit haruslah dibuat pertimbangan sewajarnya kerana dibimbangi kaedah yang dikongsikan boleh mendatangkan lebih mudarat daripada manfaat.

Pernah pada suatu ketika tular tentang penggunaan tepung gandum sebagai bahan yang dapat membantu ketika melecur akibat terkena minyak panas atau air panas.

Ada yang mengatakan tepung gandum mampu mengurangkan rasa pedih dan ada juga yang mengatakan ianya boleh mengelakkan kesan parut. Bahkan, perkongsian seorang suri rumah yang menggunakan tepung gandum untuk merawat kawasan lecur telah dikongsi semula sebanyak 55,000 kali oleh netizen yang kebanyakannya juga suri rumah. Menarik bukan?

Netizen yang telah mencuba dilihat teruja berkongsi kaedah rawatan apabila kulit melecur. Menurut seorang netizen bernama Wan Izar, berikut merupakan kaedah yang diikuti ketika terkena minyak panas:

1. Bertenang dan jangan basuh bahagian yang melecur.

2. Dapatkan bekalan tepung gandum di rumah, rendam bahagian melecur, dan biarkan selama 5 – 10 saat.

3. Angkat bahagian melecur dari tepung tetapi pastikan tempelan tepung masih melekat. Biarkan sehingga rasa pedih menyurut.

4. Setelah hilang rasa pedih dan pijar, bolehlah bahagian melecur tadi dibasuh dengan air.

5. Lap sehingga kering. Sapukan minyak gamat.

Cara yang hampir sama juga dikongsikan melalu laman sesawang abangbrian.com:

Lumurkan bahagian melecur dengan tepung gandum dan biarkan selama 10-15 minit.

Tidak pula dijelaskan langkah yang sepatutnya diambil selepas itu. Namun laman sesasawang itu mencadangkan agar tepung disimpan di dalam peti ais kerana tepung gandum yang sejuk lebih berkesan berbanding yang diletakkan dalam suhu bilik.

Bahan yang sama, caranya berbeza. Macam-macam.

Jika anda belum yakin bahawa penggunaan tepung gandum boleh merawat luka melecur, anda juga boleh menggunakan enjin carian dan pasti bahan-bahan lain sepeti kicap, marjerin dan ais menjadi pilihan rawatan asas melecur.

Namun, sejauh manakah penerimaan kita terhadap perkongsian sebegini? Benarkah penggunaan bahan asas membantu? Tidakkah ia memudaratkan?

Menerusi halaman Facebooknya bertarikh 1 Oktober 2016, Dr. Suhazeli Abdullah menyangkal penggunaan tepung gandum malah bahan-bahan lain seperti marjerin dan kicap sebagai rawatan awal melecur.

Beliau sebaliknya menyarankan agar kawasan lecuhan disiram dengan air paip biasa atau air sejuk selama sekurang-kurangnya 20 minit. Kain basah yang bersih juga boleh digunakan untuk ditekup ke atas bahagian melecur. Ais sama sekali tidak dibenarkan.

Melalui laman sesawang pamapedia.com bertarikh 11 Oktober 2016, seorang lagi pegawai perubatan bernama Dr. Hana Hadzrami turut berkongsi rawatan asas melecur iaitu dengan menyiramkan kawasan melecur dengan aliran air paip yang berterusan sehingga mangsa tidak lagi berasa sakit dan kesan merah pada badannya hilang.

Menurut Dr. Hana lagi, rawatan asas ini perlu dilakukan serta-merta bagi mengelakkan kawasan melecur terus ‘masak’ kerana haba secara perlahan terus masuk ke dalam kulit. Dr. Hana juga tidak menggalakkan penggunaan bahan-bahan lain termasuklah tepung gandum kerana dikhuatiri akan memburukkan kawasan lecur.

Jadi, anda dah tahu cara terbaik untuk merawat luka melecur? Apa-apa pun, kita haruslah berhati-hati apabila menggunakan peralatan panas, tajam atau berbahaya terutamanya di dapur.

Era Baru

Kategori:KESIHATAN

ANDA JUGA MUNGKIN SUKA

Pilihan Editor

loading...