Setiap dari kita mengenali sekurang-kurangnya seorang perokok dan kebanyakan mereka terdiri dari anak-anak muda yang baru mencari dan memulakan kehidupan.

Menurut Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan Malaysia 2015, didapati sebanyak 22.8 peratus dari populasi di Malaysia terdiri dari perokok dan jumlah itu agak ramai iaitu terdapat kira-kira 5 juta perokok di Malaysia. Mereka terdiri dari golongan muda yang berumur antara 25 ke 44 tahun.

Rokok secara terang-terangan bukanlah bahan yang baik untuk kesihatan, sebaliknya ia adalah kumpulan racun yang digulung untuk dihisap bagi tujuan memudaratkan kesihatan.

Ramai sudah maklum dan mengetahui namun mereka masih tetap mahu merokok. Termasuk anak muda malang yang dikenali sebagai Ali ini yang telah meninggal dunia akibat tabiatnya yang suka merokok.

Seorang doktor bernama Syamirulah yang merawat Ali telah berkongsi pengalamannya di dalam Facebook dan mahu memberitahu kepada semua tentang bahayanya tabiat merokok di kalangan anak muda sehingga boleh meragut nyawa dengan begitu mudah sahaja.

Kredit: 6abc Action News

Berdasarkan tulisan Dr Syamirulah di dalam Facebooknya adalah seperti berikut.

Ali adalah seorang anak muda berusia 24 tahun yang bekerja keras membantu keluarganya. Dia tinggal bersama ibu dan adik perempuannya. Bapanya telah meninggal dunia ketika dia berada di darjah 6.

Pada suatu hari di waktu tengahari yang panas, Ali telah memunggah barang-barang keluar dari lori ke kedai tempatnya bekerja. Dia dan dua pekerja lain telah bekerja agak lama dalam cuaca yang agak panas. Sampai masa kerja mereka telah selesai, Ketiga-tiga mereka duduk dan berehat di bawah pokok sambil mengambil keputusan untuk merokok bersama-sama.

Pada petang itu, Ali merasa badannya menjadi panas seperti mahu demam. Ali tidak mengendahkannya dan berfikir mungkin sebab dia telah bekerja sepanjang hari dengan cuaca yang panas hari itu.

Pada keesokan harinya, Ali mengalami demam panas yang agak tinggi dan mula batuk. Ali telah pergi bekerja seperti biasa walaupun berasa tidak sihat. Demam Ali berterusan dan tidak kebah selama dua minggu. Ali telah kehilangan selera makan dan badannya semakin bertambah lemah. Dia mula tidak dapat tidur dengan nyenyak kerana telah mengalami batuk yang sangat teruk.

Ali tidak bekerja selama dua hari kerana berada dalam keadaan kesihatan yang amat lemah. Ibu Ali telah membuat keputusan membawa Ali ke hospital.

Kredit: ismaweb

Apabila sampai di wad kecemasan, kakitangan hospital membawa Ali ke jabatan asma kerana doktor yang bertugas menyangka Ali diserang asma dengan melihat keadaannya yang seperti itu.

Ibu Ali memberitahu Ali tidak pernah mengidap asma. Kemudian Dr Syamirulah telah datang dan memeriksa tekanan darah dan nadi Ali. Didapati tekanan darahnya rendah dengan rentak nadi yang tinggi. Tetapi demamnya tidak terlalu tinggi dengan suhu 37.5 darjah celcius. Tetapi Ali berpeluh dengan banyak sehingga menyebabkan keseluruhan alas cadar katilnya menjadi basah.

Jumlah oksigen di dalam badan Ali sangat rendah menurun sebanyak 75 peratus. Ali telah diberikan alat bantuan oksigen dengan topeng muka. Oleh kerana kekurangan banyak air kerana berpeluh, badan Ali telah dimasukkan cecair bagi mengelak dia kekeringan. Pasukan perubatan telah memanggil ahli radiologi bagi menjalankan pemeriksaan X-ray ke atasnya.

Kredit: Facebook

Hasil X-ray mendapati paru-paru sebelah kiri Ali dipenuhi dengan cecair. Selepas melihat hasil X-ray itu, Dr Syamirulah membuat keputusan untuk mengeluarkan kesemua cecair itu dari paru-parunya secepat mungkin. Kerana tekanan cecair itu, ia telah membuat Ali menjadi lemas dan tidak boleh bernafas.

Apabila memasukkan jarum khas ke dalam paru-paru Ali, cecair yang pekat berwarna putih dan kuning telah keluar dari paru-paru itu. Didapati ia adalah nanah.

Sebanyak 200 mililiter nanah telah dikeluarkan dari paru-paru Ali dan tiada tanda yang nanah itu akan berhenti dan kering. Jadi, Dr Syamirulah membuat keputusan menggunakan tiub yang dimasukkan melalui dada Ali untuk mengeluarkan kesemua nanah itu. Hampir 1 liter nanah telah berjaya dikeluarkan.

Kredit: Facebook

Keadaan Ali menjadi stabil dan paras oksigen di dalam badannya telah meningkat sebanyak 98 peratus. Dan dia tidak lagi mengalami masalah pernafasan.

Ali telah dialihkan ke wad dalam pemerhatian dengan tiub itu masih berada di dalam paru-parunya selama 3 hari untuk memastikan tiada lagi nanah yang berada di dalam paru-parunya. Antibiotik yang kuat dimasukkan ke dalam badan Ali selama empat minggu dan selama waktu itu dia perlu berada di wad hospital.

Ali terpaksa menjalani pemeriksaan fisioterapi secara menyeluruh bagi membentuk semula paru-parunya kepada bentuk asal.

Apa yang dialami oleh Ali ialah Lung Empyema atau Lung Thoracis iaitu jangkitan kuman ke atas paru-paru. Manusia yang sihat mempunyai sistem imun yang boleh menghindar segala jenis kuman dengan mudah. Akan tetapi, bagi manusia yang mempunyai sistem imun yang rendah dan lemah, kuman akan mudah merebak dan membentuk koloni kuman seperti empyema.

Ali tidak pernah mengidap penyakit tibi dan tidak pula mengidap penyakit kronik seperti kencing manis dan darah tinggi mahupun HIV. Ali hanya seorang anak muda berusia 24 tahun yang secara luarannya berkeadaan sihat.

Namun tabiat yang paling disukainya ialah merokok dengan sekotak rokok yang dihabiskan setiap 3 hari semenjak usianya 17 tahun.

Merokok sangat memberi kesan kepada sistem imun terutamanya kepada paru-paru. Perokok berisiko tinggi membentuk empyema berbanding mereka yang tidak merokok.

Para doktor pasti akan bertemu pesakit seperti Ali sekurang-kurangnya seorang setiap dua bulan. Di hospital yang lebih besar, akan ada seorang pesakit dimasukkan ke wad dengan kes empyema dan dia akan berada di wad pada satu jangka masa yang lama.

Majoriti pesakit dengan kes empyema akan mengidapinya kembali dengan berulang kerana mereka tidak berhenti merokok selepas rawatan. Ini akan membawa kepada penyakit paru-paru yang kronik. Ada pesakit yang bergantung kepada alat bantuan pernafasan pada usia 50 tahun.

Kredit: NST

Kes empyema amat sukar untuk sembuh dan dirawat. Seramai 15 hingga 50 peratus pengidap akan meninggal dunia berdasarkan beberapa faktor.

Ali mengalami demam yang tinggi selepas 3 hari ditempatkan di wad. Ali mula batuk dengan teruk sehingga menjadi sangat lemah.

Pada hari ketiga, Ali telah batuk dengan teruk sehingga darah telah keluar dari mulutnya. Ali mengalami komplikasi dipanggil bronchopleural fistula yang mana kuman itu telah merebak sehingga ke saluran paru-paru dan pernafasan.

Dalam masa beberapa minit, Ali telah pengsan dan menjadi pucat. Dr Syamirulah telah berusaha sedaya upaya menyelamatkan Ali dengan memberikan alat bantuan pernafasan dan CPR.

Malangnya, Ali tidak dapat diselamatkan. Ali telah menghembuskan nafas terakhir dan meninggal dunia akibat pulmonary hemorrhage iaitu pendarahan pada saluran arteri berikutan batuknya yang sangat teruk dan berterusan.

Dr Syamirulah menambah di dalam Facebooknya dengan kata-kata terakhir,

“Mengapa kita masih menjual rokok dan membuatnya masih boleh didapati dengan mudah oleh sesiapa sahaja di kalangan orang awam?”

Suatu yang tragik terjadi pada anak muda ini. Sememangnya ajal telah tiba dan pasrah menerima. Tetapi tabiat merokok itu mendatangkan mudarat dan sebenarnya ia menghukum diri dengan kesihatan yang sengsara pada masa hadapan.

Era Baru

Maybe you're interested :

Share
Kategori: INSPIRASI KESIHATAN

Video Popular

Ad will display in 09 seconds