GAYA HIDUP, Idea Gajet

Rumah bersih tetapi lipas tetap berada di rumah anda? Ikuti 8 tips penyelesaian ini

Rumah bersih tetapi lipas tetap berada di rumah anda? Ikuti 8 tips penyelesaian ini

Lipas merupakan salah satu serangga yang paling menggelikan di dunia. Sebaik sahaja ia menyebarkan kepaknya dan terbang dari satu tempat ke tempat yang lain, anda pasti akan menjerit seperti orang yang terkena histeria!

Kredit: newyorker.com

Lipas sememangnya sukar untuk dihapuskan memandangkan keupayaannya untuk hidup di dalam sebarang suasana dan mampu untuk memakan apa jua sumber makanan seperti sisa sampah.

Malah, para saintis turut berpendapat bahawa serangga ini merupakan serangga yang paling lama wujud di dunia, ditemui kira-kira 320 juta tahun yang lalu. Hal ini membawa maksud lipas sudah pun hidup di dunia sebelum kemunculan dinosaur.

Sementara lipas dikenali sebagai haiwan yang gemarkan persekitaran kotor, kita pasti pernah terserempak dengan beberapa ekor lipas di dalam rumah kita walaupun keadaan rumah diyakini bersih.

Puncanya adalah kerana serangga ini hanya memerlukan tiga keperluan asas untuk meneruskan hidup iaitu makanan, air dan juga tempat perlindungan. Tambahan pula, lipas adalah serangga nokturnal dan cenderung untuk bersembunyi di kawasan yang gelap dan sempit.

Di samping itu, lipas turut membawa pelbagai jenis bakteria, virus dan parasit pada badan mereka. Kesemua kuman ini boleh merebak di sekitar kawasan rumah dan mengakibatkan kesan sampingan seperti alergi dan pelbagai penyakit lain.

Justeru, bagi mengelakkan rumah anda daripada menjadi pusat penginapan lipas, ini cara yang terbaik:

#1 Pastikan rumah anda bebas dari sisa makanan

Kredit: Angie’s List

Sisa makanan yang berada di atas lantai, kesan minyak pada dapur dan pinggan mangkuk yang tidak dicuci serta dibiarkan di sinki pasti akan menarik perhatian lipas.

PENYELESAIANNYA: Pastikan persekitaran rumah anda kemas dan bersih setiap masa. Bersihkan sinki, lap meja makan dan dinding selepas memasak dan bersihkan lantai untuk membuang segala sisa makanan.

#2 Makanan yang terdedah

Kredit: Public Domain Photos

Makanan yang mengandungi gula seperti kek, air soda dan jus buah merupakan antara makanan kegemaran lipas. Selain itu, lipas turut menggemari makanan yang mempunyai bau yang kuat seperti daging, keju dan juga makanan kucing.

PENYELESAIANNYA: Jangan sesekali tinggalkan makanan terdedah lama. Adalah lebih baik jika anda menyimpan makanan di dalam bekas kedap udara.

#3 Sampah yang terdedah

Kredit: Pest Hacks

Gabungan sisa makanan dan sampah yang busuk adalah sumber makanan sempurna buat si lipas. Malahan, lipas lebih gemarkan sampah yang berbau busuk berbanding makanan yang mempunyai bau kuat.

PENYELESAIANNYA: Pastikan anda menutup tong sampah dengan betul dan tidak membiarkan sampah terbiar lama di dalam rumah. Keluarkan sampah anda sekerap yang mungkin dan bersihkan sekitar kawasan tong sampah.

#4 Perabot kayu, buku, kotak kadbod dan kertas

Kredit: The Cardboard Collective

Selain makanan manusia, lipas juga menganggap bahan organik seperti kayu reput, kertas dan kadbod sebagai sumber makanan.

PENYELESAIANNYA: Buang kotak kadbod dan buku-buku lama serta perabot kayu yang tidak digunakan lagi (terutamanya yang mulai mereput).

#5 Halaman rumah yang terbiar dan tidak dijaga

Kredit: R-A-G Thyme Gardening

Rumah yang dipenuhi semak dianggap sebagai syurga makanan selain dijadikan sebagai kawasan tempat tinggal yang sempurna. Tanaman yang sudah mati dengan najis haiwan menjadi tarikan bagi serangga ini.

PENYELESAIANNYA: Pastikan halaman rumah anda sentiasa bersih dan tidak ditumbuhi lalang.

#6 Paip bocor, lopak air, karpet basah, span dan pelbagai sumber kelembapan yang terbiar

Sumber air seperti paip bocor, alat penghawa dingin dan kain basah yang tersorok di bawah dapur mampu menarik kehadiran lipas. Selain itu, lipas turut cenderung untuk meminum air di dalam mangkuk air binatang peliharaan, span basah, tikar pelapik di dapur dan bilik mandi serta lopak air sekitar sinki.

PENYELESAIANNYA: Segera baiki sebarang kemudahan yang bocor, lap kesan air di atas sinki, keringkan tikar pelapik yang lembap dan pastikan span basah tidak dibiarkan di atas sinki.

#7 Peralatan elektronik

Kredit: Pinterest

Lipas gemar tinggal di dalam kawasan yang panas, lembap, gelap dan sempit seperti peti sejuk, ketuhar gelombang, alat pembakar roti, komputer, mesin pencetak dan sebagainya.

PENYELESAIANNYA: Letakkan ubat gegat di sekitar alat-alat ini selama seminggu bagi menghapuskan serangga.

#8 Celahan dan rekahan kecil

Kredit: Trip Advisor

Kita ketahui lipas memang gemarkan kawasan yang gelap dan sempit. Sama ada di dalam kabinet, di bawah sinki, di dalam peralatan elektrik, di antara paip dan sebagainya menjadi kawasan kediaman bagi serangga kotor ini.

PENYELESAIANNYA: Sentiasa bersihkan kawasan yang berpotensi menjadi habitat bagi lipas dan tutup celahan serta rekahan pada dinding rumah anda bagi mengelakkan kemasukan lipas.

Sementara ada yang menggunakan daun pandan untuk menghalau lipas, bagaimana pula dengan anda? Kongsikan tips yang berguna di ruangan komen.

Sumber: SAYS

ANDA JUGA MUNGKIN SUKA

Pilihan Editor

loading...