Aneh, Misteri & Fenomena

10 kes tergempar membabitkan kanak-kanak yang pernah dipelihara oleh haiwan liar

10 kes tergempar membabitkan kanak-kanak yang pernah dipelihara oleh haiwan liar

Sehingga kini, terdapat banyak kes melibatkan pemeliharaan manusia oleh haiwan liar sekali gus menjadikan manusia tersebut memiliki karakter seperti haiwan yang menjaganya.

Perkara ini jelas membuktikan kewujudan karakter fiksyen seperti Tarzan. Terdapat lebih daripada 100 kes seluruh dunia yang didokumentasikan membabitkan kanak-kanak yang hidup di hutan bersama-sama dengan anjing liar, serigala, monyet malahan kambing.

Tidak pernah berhubung dengan manusia sebenar menyebabkan kanak-kanak ini tidak memiliki perkembangan asas sosial seperti kemahiran bercakap dan kemahiran berfikir secara rasional.

Justeru, hal ini membuatkan mereka sukar untuk menyesuaikan diri di dunia yang serba moden walaupun ia adalah tempat asal kelahiran mereka. Malah terdapat juga beberapa kes di mana apabila kanak-kanak tersebut sudah mampu berkomunikasi, dia menyatakan hasratnya untuk kembali semula ke hutan.

Lihat 10 kes yang dipaparkan di bawah dan berikan pandangan anda mengenainya. Adakah wajar untuk kita membiarkan mereka terus hidup di alam haiwan ataupun menjadi tanggung jawab kita untuk mendidik mereka supaya menjadi manusia yang bertamadun walaupun ianya bertentangan dengan kehendak mereka?

#1 Oxana Malaya

Pada usia tiga tahun, Oxana Malaya dari Ukraine telah diabaikan serta diusir dari rumah oleh kedua ibu bapanya. Selama lima tahun, Oxana telah tinggal di dalam sebuah kandang di belakang rumah bersama dengan beberapa anjing liar.

Pada tahun 1991, Oxana ditemui tidak mampu untuk bercakap sebaliknya hanya menyalak dan berjalan seperti anjing. Oxana juga kelihatan sangat rapat dengan anjing-anjing tersebut.

Lebih mengejutkan lagi, pihak berkuasa yang cuba menyelamatkan Oxana terpaksa bergelut dengan kehadiran anjing-anjing liar yang cuba melindunginya.

Kini pada usia 20-an, Oxana dikatakan sudah mampu untuk berbicara tetapi memiliki kapasiti mental seperti kanak-kanak enam tahun. Dia kini menetap di pusat yang menempatkan golongan kurang upaya dan menunjukkan kelakuan penyayang terhadap lembu-lembu di kawasan tersebut.

#2 Vanya Yudin, “Budak Burung”

Pada tahun 2008, seorang kanak-kanak Rusia yang berusia tujuh tahun bernama Vanya Yudin telah ditemui terkurung di dalam sebuah bilik yang dipenuhi dengan pelbagai jenis burung domestik dan juga burung liar. Bukan sahaja itu, bilik tersebut turut dipenuhi dengan najis dan sisa makanan burung yang bertaburan.

Disebabkan kanak-kanak ini tidak pernah berkomunikasi dengan sesiapa, dia hanya mampu mengeluarkan bunyi kicauan dan mengepakkan tangannya. Setelah ditemui, ibu kepada kanak-kanak ini dengan rela hati melepaskan hak penjagaan anaknya kepada pusat kebajikan masyarakat.

Buat sementara waktu, dia telah ditempatkan di tempat pemulihan dan rawatan. Laporan terkini menyatakan ‘budak burung’ ini tinggal di sebuah pusat rawatan psikologi di mana dia akan menjalani pemulihan.

#3 John Ssebunya

Trauma setelah melihat sendiri ibunya dibunuh oleh bapa kandung, John Ssebunya yang berusia empat tahun pada ketika itu bertindak melarikan diri dari rumahnya. Selama tiga tahun, John telah menetap di dalam hutan dan dijaga oleh sekumpulan monyet.

Ketika John ditemui pada tahun 1991, monyet-monyet yang merupakan keluarga angkatnya telah berusaha menyelamatkan John dengan membaling ranting pokok ke arah anggota penyelamat.

Kini pada usia 20-an, John mula mengimbas semula detik di mana ketika dia berseorang di hutan, sekumpulan lima ekor monyet telah menjaganya dengan memberikannya makanan, memberi tunjuk ajar tentang bagaimana untuk memanjat pokok dan mencari makanan.

Atas bantuan yang diberikan oleh rumah kebajikan yang didiaminya sekarang, John bukan sahaja sudah pandai bercakap tetapi juga menyanyi.

#4 Daniel, “Budak Kambing Andes”

Sekitar tahun 1990, seorang budak berusia 12 tahun telah ditemui di pergunungan Peru bersama dengan sekumpulan kambing gurun.

Dipercayai, Daniel telah hidup selama lapan tahun di kawasan pergunungan tersebut dengan meminum susu kambing selain memakan akar serta buah-buahan. Tapak tangan serta kakinya juga mengeras akibat berjalan seperti kambing selama dia hidup di kawasan tersebut.

Pasukan penyelidik dari Universiti Kansas telah membuat kajian terhadap kanak-kanak yang diberi nama Daniel ini dan mengesahkan bahawa dia tidak langsung mempunyai keupayaan untuk berkomunikasi seperti manusia.

Tetapi apabila bersama dengan kambing-kambing yang menjadi ahli keluarganya selama ini, Daniel kelihatan mampu untuk berkomunikasi dengan baik.

#5 Ivan Mishukov

Ivan telah melarikan diri dari rumah pada tahun 1996 semasa berusia empat tahun akibat tidak tahan dengan deraan ibu bapanya. Menjadi gelandangan sejak kecil, Ivan mendapatkan makanan dari tong sampah dan mengemis.

Ivan turut kongsikan hasil sisa makanan yang ditemuinya dengan anjing-anjing jalanan lain. Sebagai balasan, anjing-anjing tersebut akan melindunginya dan menghangatkan tubuh Ivan pada waktu malam.

Orang awam yang melihat Ivan merayau-rayau bersama anjing jalanan memaklumkan Ivan kelihatan seperti ketua bagi kumpulan anjing liar tersebut selain menunjukkan kelakuan seperti gemar menggigit dan mengeluarkan bunyi menderam.

Dua tahun kemudian, Ivan telah dibawa ke rumah kebajikan kanak-kanak. Di situ, Ivan kelihatan mampu mengadaptasi kehidupan seperti manusia biasa mungkin kerana dia pernah menjalani kehidupan normal bersama keluarga semasa proses membesar.

#6 Rochom P’ngieng

Rochom dikatakan hilang semasa sedang mengembala kerbau di Kemboja pada usia lapan tahun. 18 tahun kemudian iaitu pada tahun 2007, penduduk kampung dikatakan telah melihat seorang wanita tanpa seurat benang menyelinap masuk ke rumahnya untuk mencuri nasi.

Wanita tersebut kemudiannya berjaya ditangkap dan dikenalpasti sebagai Rochom berdasarkan kepada kesan parut pada tubuhnya. Dia kemudian dibawa kembali ke pangkuan keluarga.

Akan tetapi, Rochom dikatakan tidak berjaya menyesuaikan diri dalam kehidupan bermasyarakat dan telah larikan diri ke hutan pada tahun 2010. Walaupun terdapat beberapa aduan tentang penampakan Rochom dilaporkan, lokasi sebenar Rochom masih tidak diketahui.

#7 Natasha Mikhailova

Pada tahun 2009, seorang kanak-kanak perempuan berumur lima tahun telah ditemui di sebuah apartmen di bandar Chita, Siberia yang dipenuhi dengan najis selain menunjukkan kelakuan seperti anjing dengan menyalak.

Pengabaian oleh bapa dan datuk serta neneknya menyebabkan Natasha dikurung bersama dengan anjing dan kucing sepanjang hidupnya.

Selain itu, Natasha juga kelihatan menikmati makanan dan minumannya dengan lidah, berjalan dengan keempat-empat tangan dan kaki di bawah selain bermain seperti anjing.

Kini, Natasha ditempatkan di bawah pemerhatian di sebuah pusat pemulihan sosial. Pakar berharap agar pendidikan secara intensif mampu mengubah Natasha menjadi manusia normal semula.

#8 Andrei Tolstyk

Sejak berusia tiga bulan, Andrei mula diabaikan oleh kedua ibu bapanya. Andrei hanya mampu bertahan hidup selama tujuh tahun seterusnya atas bantuan yang diberikan oleh anjing peliharaan keluarganya.

Dijaga seperti anak anjing, Andrei menunjukkan kelakuan yang sama seperti berjalan dengan keempat-empat kaki dan tangan, menderam dan menggigit sesiapa sahaja yang cuba mendekatinya selain menghidu makanan sebelum memakannya.

Pada tahun 2004, Andrei dibawa ke pusat penjagaan kanak-kanak yatim dan dia kelihatan sangat takut dengan kehadiran manusia serta bertindak agresif. Pekerja di pusat tersebut akhirnya berjaya memujuk serta berkomunikasi dengan Andrei menggunakan bahasa isyarat yang mudah.

Beberapa tahun kemudian, Andrei sudah mula pandai makan dengan menggunakan sudu garfu, berjalan seperti manusia biasa selain mengemas katilnya setiap kali bangun tidur.

#9 Traian Caldarar

Traian mula tinggal dan hidup di dalam hutan setelah melarikan diri daripada bapanya yang suka melakukan penderaan seawal usia tiga tahun. Ibunya pula telah lama melarikan diri daripada bapanya.

Traian telah melindungi diri dengan menjadikan kotak sebagai tempat untuk berteduh selain berkawan dengan anjing jalanan yang menawarkan perlindungan serta kasih sayang kepadanya.

Pada tahun 2002, Traian ditemui bersebelahan dengan bangkai anjing. Traian juga disahkan mengalami kekurangan zat makanan dengan kesan luka dan pelbagai jangkitan kuman lain.

Ketika dibawa ke pusat penjagaan, Traian akan tidur di bawah katil dan menunjukkan kelakuan agresif apabila lapar. Kini, Traian dijaga oleh datuknya dan sudah mampu bercakap serta menghadiri sekolah.

#10 Bello, “Budak Cimpanzi Nigeria”

Pada tahun 1996, seorang kanak-kanak dua tahun yang mengalami kecacatan fizikal dan mental telah ditemui bersama dengan sekumpulan cimpanzi di utara Nigeria.

Bello dipercayai telah diabaikan sejak berusia enam bulan atas faktor kelainan upaya yang dialaminya. Bello juga dilihat berjalan dengan menggunakan kedua-duanya kakinya sambil mengheret tangannya di atas tanah seperti seekor beruk.

Setelah ditempatkan di pusat kebajikan, Bello akan membuat perangai khususnya pada waktu malam dengan melompat, menghempas barangan dan membuat bunyi bising seperti monyet.

Pada usia enam tahun, tingkah laku Bello berubah semakin normal namun dia masih tidak mampu berkomunikasi dengan sempurna malahan, terdapat beberapa kecenderungan terhadap kelakuan haiwan.

Era Baru

ANDA JUGA MUNGKIN SUKA

Pilihan Editor

loading...