Asia, GLOBAL, Misteri & Fenomena, VIDEO

13 terkorban, 175 lagi cedera akibat gempa bumi berukuran 6.5 magnitud di China

13 terkorban, 175 lagi cedera akibat gempa bumi berukuran 6.5 magnitud di China
Pada 8 Ogos 2017 gempa bumi berukuran 6.5 magnitud berlaku di kawasan pelancongan terkenal di barat daya China. (Foto:earthquake-report)

CHINA – Sekurang-kurangnya 13 individu terkorban dan 175 lagi mengalami kecederaan semalam (8 Ogos 2017) setelah berlakunya gempa bumi yang kuat di kawasan pelancongan terkenal di barat daya China.

Menerusi laporan media Xinhua, daripada mereka yang mengalami kecederaan, seramai 28 orang daripadanya mengalami kecederaan serius.

Gegaran kuat itu telah melanda daerah Jiuzhaigou di wilayah Sichuan pada malam Selasa. Sekurang-kurangnya lima yang terkorban merupakan kalangan pelancong dan 2,800 penduduk dipindahkan daripada hotel yang mengalami kemusnahan teruk itu.

Pasukan penyelamat masih lagi dalam usaha untuk mencari mangsa-mangsa yang berada di bawah timbunan runtuhan bangunan, lapor stesen penyiaran CCTV.

Pihak US Geological Survey (USGS) menyatakan gempa bumi yang melanda adalah berukuran 6.5 magnitud pada kedalaman 35km (22 batu) di bahagian barat daya Yongle.

Penduduk yang berada di Chengdu iaitu kira-kira 300km (186 batu) dari pusat kejadian gempa turut memaklumkan bahawa mereka merasai gegaran akibat bencana tersebut.

Tentera polis China masih lagi dalam misi pencarian setelah gempa bumi membadai Jiuzhaigou pada malam 8 Ogos. Lebih kurang 400 buah trak bomba dan 1,100 ahli bomba dikerahkan ke lokasi kejadian bersama-sama dengan 30 ekor anjing penyelamat dan 24 penjana kuasa.

Pihak berkuasa tempatan telah bertindak menutup kawasan tersebut yang terkenal dengan air terjun yang menakjubkan dan pemandangan topografi di Taman Negara yang indah bermula Rabu (9 Ogos).

Yu Qian, pegawai biro percukaian tempatan menjelaskan kejadian gempa ini telah menyebabkan bekalan kuasa dan perkhidmatan telefon di kawasannya terganggu.

Walau bagaimanapun, gempa bumi ini bukan satu-satunya gempa yang berlaku di China dalam tempoh 24 jam. Menurut USGS, pada hari Rabu jam 7.27 pagi waktu tempatan, gempa berskala 6.3 magnitud telah melanda barat laut China iaitu di kawasan Xinjiang Uyghur, berdekatan sempadan Kazakhstan.

Gempa tersebut dikatakan melanda pada kedalaman 25.9km (16 batu), lapor USGS. Tiada sebarang laporan kecederaan atau kematian dilaporkan setakat ini.

Era Baru

ANDA JUGA MUNGKIN SUKA

Pilihan Editor

loading...