GLOBAL, Kebenaran

Pengamal Falun Gong tuntut hentikan penindasan 18 tahun

Pengamal Falun Gong tuntut hentikan penindasan 18 tahun
Ratusan pengamal dan penyokong Falun Gong menyertai upacara nyalaan lilin di hadapan Konsulat China di New York pada 16 Julai 2017. Dilancarkan pada 20 Julai 1999, penindasan itu telah memasuki usia 18 tahun di China. (Benjamin Chasteen/The Epoch Times)

New York – Pada 16hb Julai, ratusan pengamal Falun Gong dari seluruh bandar raya New York berkumpul berhampiran Konsulat China di New York untuk perhimpunan dan upacara nyalaan lilin bagi menandakan 18 tahun sejak rejim Komunis China melancarkan kempen penindasan yang kejam terhadap rakyatnya yang mengamalkan kepercayaan rohaniah.

Perhimpunan tersebut menghimpunkan juru cakap Falun Gong, pengamal yang bertahan dengan penindasan zalim di China, ahli pertubuhan hak asasi manusia bukan kerajaan, dan tujuh warganegara China yang baru sahaja meninggalkan Parti Komunis China dan pertubuhan berkaitannya.

“Kami berkumpul di sini di hadapan Konsulat China di New York untuk menyeru masyarakat antarabangsa supaya membantu menghentikan penindasan dan mendedahkan jenayah ini yang bertentangan dengan nilai kemanusiaan yang telah berlarutan selama 18 tahun,” ujar Erping Zhang, juru cakap Falun Gong, dalam satu temu ramah.

“Selama 18 tahun, banyak pengamal Falun Gong telah kehilangan rumah, kerja, malah nyawa mereka,” ujar Zhang lagi. “Lebih memburukkan, telah berlaku jenayah kejam pengambilan organ terhadap tahanan pengamal Falun Gong.”

Pengkaji utama pengambilan organ secara paksa di China menganggarkan bahawa rejim komunis China telah membunuh sebahagian besar pengamal Falun Gong bagi mendapatkan organ mereka dari tahun 2000 sehingga 2015 untuk disalurkan kepada industri pemindahan organ yang sememangnya lumayan, menurut laporan tahun 2016.

Falun Gong, juga dikenali sebagai Falun Dafa, mula diperkenalkan kepada masyarakat China pada tahun 1992 oleh Encik Li Hongzhi. Mendapat inspirasi dan kebaikan dari amalan yang mementingkan prinsip moral dan senaman berkonsepkan keharmonian, seramai 70 hingga 100 juta rakyat China telah menerima fahaman ini pada tahun 1999, menurut anggaran kerajaan negeri dan pengamal fahaman.

Di antara mereka ialah Li Dianqin, penduduk asal daerah Liaoning di timur laut China. Li boleh dikatakan sedang terlantar menunggu saat kematiannya semasa kali pertama diberitahu mengenai Falun Gong pada tahun 1995 – dia menderita tumor hati dan pelekatan usus yang mengakibatkan keperitan berpanjangan di bahagian perut.

Walau bagaimanapun, selepas mengamalkan Falun Gong, secara perlahan-lahan Li bukan sahaja berjaya mengatasi penyakitnya, yang mana mengikut pendapat doktor tidak lagi boleh diubati, malah Li juga beroleh kekuatan mental untuk mengharungi penindasan rejim Komunis China.

Pada Mac 2000, Li ditahan di pusat ‘membasuh otak’ di hospital mental Shenyang City, tempat dia diasak siang dan malam dengan propaganda membenci Falun Gong.

Tiga bulan kemudian, Li telah dicampak ke Kem Buruh Paksa Masanjia, sebuah pusat tahanan yang terkenal dengan layanan mengerikan terhadap pengamal wanita Falun Gong.

Pengawal Masanjia diketahui merenjat kemaluan pengamal wanita dengan belantan elektrik,  membogelkan pengamal dan mengunci mereka di dalam sel banduan lelaki untuk dirogol beramai-ramai.

Li, sekarang berusia 66 tahun telah datang ke Amerika Syarikat pada bulan Julai yang lepas. Akan tetapi, pada perhimpunan di New York, Li dan pengamal Falun Gong yang lain terus dijadikan sasaran rejim Komunis China.

Sekitar 50 rakyat China berpakaian kemeja merah dengan slogan pro-komunis dan topi telah berkumpul di seberang jalan bertentangan dengan perhimpunan Falun Gong. Mereka melaungkan slogan anti-Falun Gong dengan pembesar suara dan mengibarkan bendera merah rejim Komunis China.

Collin Ding, seorang pelajar sekolah menengah berusia 17 tahun mengatakan beliau menghadiri acara tersebut untuk membantah secara aman penindasan berterusan terhadap kepercayaannya.

“Sebagai pengamal Falun Dafa, kami memupuk diri berdasarkan prinsip Sejati, Baik dan Sabar,” ujar Ding.

Ding mengatakan bahawa prinsip Falun Gong membantu beliau untuk muhasabah dan memperbaiki diri apabila berhadapan dengan kesulitan daripada menaruh rasa benci terhadap orang lain.”

“Di sekeliling kamu akan sentiasa ada orang yang baik dengan kamu dan juga orang yang bengis dengan kamu,” katanya. “Tetapi walaupun orang bersikap bengis dengan kamu, kamu perlu sentiasa ikhlas terhadap mereka.”

Christina Oz, 32, mengetahui tentang Falun Gong pada penghujung Mei tahun ini ketika terjumpa pengamal fahaman yang sedang melakukan latihan gerak perlahan di Madison Square Park di pusat bandar Manhattan.

“Penemuan itu diibaratkan seperti menemui jalan pulang selepas satu perjalanan yang panjang,” ujar Oz. “Saya telah mencarinya sepanjang hidup saya.”

Berasal dari Romania, sebuah negara yang dahulunya sebahagian dari Soviet Union, Oz sudah lali dengan cara rejim komunis melanyak amalan kerohanian. “Banyak orang yang dibunuh, banyak orang yang ditindas oleh bekas rejim komunis di Romania,” ujarnya.

“Oleh kerana itu, saya dapat mengaitkan diri dengan China kerana saya berasa dan memahaminya dengan jelas,” kata Oz. “Komunisme menghancurkan asal usul dan nilai murni manusia.”

“Rakyat China harus tahu kebenaran tentang rejim Komunis China dan melihat dengan jelas propaganda komunis,” ungkap Li Dianqin, seorang pengamal Falun Gong.

“Kecenderungan menindas oleh rejim Komunis China memerlukan kesedaran kita,” kata Li. Apabila masyarakat dunia mencapai kesedaran yang sama, rejim Komunis China akan terpecah sepenuhnya,” tambahnya lagi.

Era Baru

Kategori:GLOBAL Kebenaran

ANDA JUGA MUNGKIN SUKA

Pilihan Editor

loading...