Keluarga, NASIONAL

Pencarum KWSP perlu segera membuat permohonan penamaan sebelum terlambat!

Pencarum KWSP perlu segera membuat permohonan penamaan sebelum terlambat!

Statistik terkini menunjukkan masih ramai rakyat Malaysia yang menjadi ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) belum lagi membuat penamaan.

Kredit: theIndependent

Sejumlah 10.6 juta orang atau 73% ahli KWSP tidak membuat penamaan menyebabkan harta mereka tidak dituntut pewaris dan ‘beku’ dalam akaun beberapa agensi kerajaan berkaitan pengurusan wang simpanan dan harta.

Walaupun urusan penamaan ini belum lagi diwajibkan oleh Lembaga KWSP tetapi kesemua ahli digalakkan untuk mempercepatkan proses tersebut.

Kredit: Harian Metro

Bagi ahli yang beragama Islam, individu yang dinamakan di dalam permohonan penamaan KWSP akan menerima simpanan wang ahli yang telah meninggal dunia sebagai pentadbir (Wasi) dan akan memikul tanggungjawab membahagikan wang tersebut mengikut hukum Faraid.

Sementara itu bagi ahli yang bukan beragama Islam, pengagihan wang simpanan tersebut akan diberikan kepada calon penama.

Ahli-ahli digalakkan untuk membuat penamaan bagi memudahkan proses memindahkan wang simpanan KWSP kepada si penama setelah kematian individu tersebut. Jika gagal berbuat demikian, segala tuntutan wang pusaka tersebut akan menjadi lebih panjang dan rumit selain perlu melalui perlbagai prosedur.

Menurut wakil jurucakap KWSP, sekiranya wang caruman tidak dituntut, ia akan disimpan di bawah nama si mati sehingga warisnya melakukan tuntutan. Akan tetapi, waris perlu menjalani pelbagai proses dan prosedur memandangkan wang tersebut dipindahkan ke Pendaftar Wang Tidak Dituntut.

Hal ini bermakna, walaupun wang caruman tersebut masih boleh dituntut dan dikeluarkan, pihak KWSP memerlukan waris untuk menyediakan dokumen sokongan yang pastinya akan memakan masa dan wang.

Menurut Akta KWSP 1991, hanya borang yang mempunyai penama yang sah sahaja akan direkodkan dan disimpan oleh KWSP.

Kredit: pixabay

Bagi memudahkan proses ini, pihak Lembaga KWSP telah memperkenalkan prosedur terbaru yang membolehkan ahli membuat penamaan tanpa kehadiran saksi. Sebelum ini, ahli KWSP memerlukan saksi hadir bersama mereka semasa menghantar borang penamaan tersebut kepada pejabat KWSP.

Bermula 1 Januari 2017, mana-mana ahli KWSP hanya perlu menyediakan beberapa dokumen yang diperlukan sebagai bukti sebelum membuat penamaan dan kehadiran saksi tidak lagi menjadi kewajipan.

Di samping itu, pihak KWSP turut menawarkan bantuan kewangan sebanyak RM2,500 kepada waris si mati yang bertanggungjawab seperti duda, janda, anak-anak atau ibu bapa. Bantuan ini hanya diberikan sekali sahaja.

Kredit: dollarsandsense

Ini merupakan syarat-syarat yang perlu diberi perhatian sebelum memohon khairat kematian:

1. Ahli merupakan warganegara Malaysia (termasuk Penduduk Tetap) atau bukan warga Malaysia yang berdaftar dengan KWSP sebelum 1 Ogos 1998.

2. Ahli meninggal dunia sebelum mencapai usia 55 tahun.

3. Permohonan dibuat dalam tempoh enam (6) bulan daripada tarikh kematian ahli.

4. Ahli mempunyai wang simpanan sewaktu permohonan pengeluaran wang caruman dibuat.

Permohonan penamaan boleh dilakukan dengan dua langkah mudah:

1. Isi Borang KWSP 4.

2. Hantar borang permohonan ke mana-mana pejabat KWSP berdekatan.

Anda perlu membawa:

1. Satu salinan kad pengenalan anda.

2. Satu salinan dokumen pengesahan penama seperti kad pengenalan atau sijil kelahiran.

3. Borang Permohonan Penama (KWSP 4) yang sudah lengkap diisi.

Jika anda sudah membuat penamaan, pastikan segala butiran adalah tepat dan anda juga boleh mengemaskini borang tersebut melalui:

1. Kaunter KWSP.

2. Portal rasmi KWSP menggunakan i-Akaun KWSP anda.

Untuk maklumat lanjut, layari portal rasmi KWSP untuk mendapatkan informasi mengenai Penamaan dan Pengeluaran Wang Kematian dengan lebih terperinci.

Era Baru

Kategori:Keluarga NASIONAL

ANDA JUGA MUNGKIN SUKA

Pilihan Editor

loading...