NASIONAL

Laporan kesalahan jalan raya kini boleh dilakukan menerusi aplikasi Whatsapp

Laporan kesalahan jalan raya kini boleh dilakukan menerusi aplikasi Whatsapp
Kesalahan lalu-lintas yang dilakukan oleh pemandu lain boleh dilaporkan melalui aplikasi Whatsapp kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) . (Foto komposit)

KUALA LUMPUR – Sempena sambutan perayaan Hari Raya, ramai yang mengambil cuti panjang. Berapa ramaikah daripada para pembaca yang sempat beraya di kampung? Atau mungkin ada yang masih belum pulang ke kota? Dan mungkin ramai juga yang terperangkap dalam kesesakan lalu lintas dalam perjalanan pulang.

Kredit: noturncarz.blogspot.my

Sekiranya anda salah seorang daripada ribuan yang terpaksa meredah keperitan kesesakan lalu lintas yang teruk sempena musim perayaan ini, tentu anda faham betapa menjengkelkan apabila anda melihat ada dalam kalangan pemandu yang melanggar peraturan jalan raya untuk sampai ke destinasi masing-masing dengan lebih cepat.

Penyalahgunaan laluan kecemasan adalah antara salah satu perkara yang biasa terjadi.

Kini anda boleh terus menangkap gambar atau merakam video kesalahan lalu lintas yang dilakukan pemandu lain dan laporkannya melalui aplikasi Whatsapp kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Perkhidmatan ini disediakan khas oleh pihak berkuasa tersebut baru-baru ini.

Nombor yang perlu anda simpan dalam telefon bimbit anda ialah 011-5111 5252

Kredit: Pandu Laju

Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Nadzri Siron berkata orang ramai kini boleh menghantar gambar dan tindakan pemandu yang melanggar undang-undang jalan raya.

“Kami juga meminta agar penumpang bas melaporkan mana-mana syarikat perkhidmatan bas yang tidak menugaskan pemandu kedua bagi perjalanan yang melebihi empat jam. Mereka juga boleh menghantar aduan menerusi e-mel kepada kami melalui [email protected],” tambahnya.

Namun begitu, nombor tersebut hanya boleh dihubungi sehingga 2 Julai 2017, seiring dengan Ops Hari Raya Aidilfitri 2017. Perkhidmatan ini juga bertujuan untuk mengingatkan kepada para pemandu bahawa mereka boleh ditangkap pada bila-bila masa sahaja.

Kredit: Motortrader 

“Kami harapkan agar pengguna jalan raya akan lebih berhemah dan mengikut undang-undang. Sekiranya efektif, kami akan teruskan perkhidmatan menerima aduan menerusi Whatsapp ini di masa hadapan,” tambah Datuk Seri Nadzri lagi.

Kesahihan laporan yang dibuat akan diperiksa oleh PLUS Malaysia Berhad dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia sebelum pihak JPJ mengambil tindakan.

Setakat hari Khamis yang lalu, 22 aduan telah diterima. Sementara itu, 7 229 saman telah dikeluarkan oleh JPJ melalui sistem AWAS (Automated Awareness Safety System) dari 18 hingga 22 Jun tahun ini.

Pada tahun ini, bilangan pengguna jalan raya meningkat 40% daripada 1.5 juta kepada 2.1 juta pengguna.

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail, berkata, “Bilangan kes kemalangan jalan raya meningkat sebanyak 30% daripada 150 kes pada tahun lalu kepada 195 kes tahun ini, begitu juga dengan bilangan mangsa yang terkorban – daripada 8 orang kepada 10 orang yang mana 7 daripadanya ialah penunggang motosikal.”

Kami di sini berharap agar para pembaca Era Baru akan selamat sampai ke destinasi masing-masing. Berhati-hatilah di jalan raya.

Selamat Hari Raya Aidilfitri!

Era Baru

Kategori:NASIONAL

ANDA JUGA MUNGKIN SUKA

Pilihan Editor

loading...