INSPIRASI

Tahukah anda? Kampung Terbersih di Asia berada di India

Tahukah anda? Kampung Terbersih di Asia berada di India

Kampung Mawlynnong dicatatkan sebagai ‘Kampung Terbersih di Asia’. Perkampungan itu terletak 90 kilometer dari bandar Shillong, Meghalaya, India yang mana perjalanannya akan membawa kita menikmati pemandangan menarik penuh panorama terbaik di India.

Lebih berdekad lalu Mawlynnong tidak diketahui kewujudannya oleh pelancong sehingga sebuah majalah Discover India mendedahkan statusnya sebagai Kampung Tercantik pada tahun 2005.

Berada di dalam kawasan tidak tercemar pergunungan East Khasi Meghalaya, yang terletak berdekatan sempadan Indo Bangla. Penduduk  di kampung yang indah ini telah lama hidup dengan harmoni bersama alam semulajadi dan ini mungkin boleh menjadi tauladan kepada penduduk kawasan pedalaman yang lain.

Apabila seseorang melangkah masuk ke perkampungan ini, dengan melalui laluan berliku-liku di perkampungan itu, ia agak menakjubkan apabila melihat kebersihan kelikil hitam yang dipelihara, dengan  halaman serta  laluannya yang bersih menuju ke rumah penduduk kampung yang diperbuat daripada buluh.

Terdapat bakul sampah yang bergaya lagi unik berada di mana-mana, dengan setiap satunya diasingkan dengan kompos berbeza mengikut kategori sampah itu sama ada organik atau bukan organik. Bahan polythene atau plastik adalah dilarang penggunaannya.  Merokok juga tidak dibenarkan.

Terdapat tandas awam yang penduduk  kampung itu sendiri menyelenggara dengan baik dan setiap daripada mereka bertanggungjawab mengambil bahagian membaja, menyapu dan membersihkan taman dan jalan yang mereka lakukan setiap petang.

Kanak-kanak telah diajar sejak dari awal lagi untuk menjaga persekitaran mereka supaya bersih dan mereka tidak akan teragak-agak untuk mengutip sampah di tepi jalan dan membuangnya di dalam bakul yang disediakan.

Perkampungan tersebut juga telah dibekalkan dengan bekalan air  dan sistem sanitasi yang baik dan lengkap.

Di luar perkampungan tersebut, terdapat sebuah sungai yang dihubungkan dengan jambatan diperbuat dari akar kayu hidup yang jelas menunjukkan kepakaran dan kepandaian penduduk kampung di situ dalam bidang kerja tangan.

Jambatan itu telah dibina lebih 200 tahun lalu dengan jambatan itu diperbuat dengan binaan ikatan akar-akar dari dua buah pokok banyan dan mereka menggerakkan ia dengan menyilangi satu dengan lain maka membentuk jambatan itu memberi laluan kepada penduduk menyeberangi sungai tersebut.

Terdapat juga menara tinjau tinggi yang terletak di sebelah timur perkampungan tersebut diperbuat dari buluh yang membolehkan sesiapa sahaja menikmati pemandangan indah dataran Bangladesh.

Bagi pelancong yang bersifat ingin tahu,  terdapat banyak tempat yang masih tidak ditandakan oleh peta dan seseorang itu boleh menjelajah sekitar perkampungan dengan menikmati pemandangan air terjun kecil dan hutan dipenuhi flora dan fauna.

Rumah tetamu di perkampungan itu adalah rumah yang dibina di atas pokok dengan tegakan pendiang diperbuat daripada buluh berada di tengah-tengah pokok dengan diikat mengelilingi pokok yang lain.

Tinggal bersama mereka di perkampungan itu juga mungkin sebahagian dari pengalaman yang menyeronokkan.

Bagi penduduk bandar yang datang berkunjung mungkin ada banyak yang boleh dipelajari dari kampung Mawlynnong ini, oleh kerana mereka ini merupakan penduduk yang mengutamakan alam sekitar.

Walaupun cara hidup mereka adalah biasa dan tidak berkembang, tetapi sikap dan adat turun temurun  mereka berpegang kepada prinsip mengutamakan kebersihan dan rajin serta muafakat dengan menjadikan alam semulajadi sebagai sumber berharga  patut dijadikan ikutan semua.

Perkampungan Mawlynnong menjadi contoh bahawa setiap orang mempunyai tanggungjawab menjaga kebersihan dan alam sekitar. Setiap orang perlu peka menjaga persekitaran tidak kira di mana mereka berada.

Era Baru                                               

Kategori:INSPIRASI

ANDA JUGA MUNGKIN SUKA

Pilihan Editor

loading...