Bertiraikan banir, bertilam pasir, berkelambukan gua, berkandilkan bulan, berkotakan betis. Mungkin peribahasa-peribahasa ini boleh menjelaskan keadaan Chen Jinfu sekiranya dia tidak memiliki tempat tinggal dan hidup bergelandangan.

Apa yang menyukarkan apabila ingin mencari takrifan bagi individu seperti Chen ini ialah walaupun lelaki ini hidup bergelandangan, dia sebenarnya mempunyai tempat tinggal sendiri.

Menurut laporan akhbar Lianhe Wanbao, anak kelahiran Ipoh,Perak, ini ‘mendiami’ pusat membeli belah Jurong Point sejak empat tahun yang lalu.

Chen dikatakan menggunakan segala kemudahan yang disediakan pusat membeli belah di Singapura itu seperti perkhidmatan Wi-fi, elektrik dan air secara percuma.

Ketika ditemui oleh wartawan akhbar Lianhe Wanbao yang membuat liputan mengenainya, Chen dilihat sedang duduk di atas helaian surat khabar dan menonton video pada telefon bimbitnya sambil menikmati sekotak air susu soya dan sebungkus roti.

Lelaki berusia 35 tahun ini juga mempunyai pekerjaan tetap di sebuah kilang di sini dengan pendapatan bulanan sebanyak SGD 1 000 (RM3 125) sebulan. Wang tersebut digunakannya untuk membayar sewa bulanan sebuah bilik di bandar Jurong West yang disewanya sebanyak SGD250 (RM780) sebulan.

Menurut Chen lagi, wang selebihnya digunakan untuk membeli barangan keperluan di Johor. Dia sanggup berulang-alik ke Johor hampir setiap hujung minggu untuk membeli barangan keperluan tersebut kerana kos sara hidup di Singapura dikatakan terlalu tinggi untuknya. Chen juga menghantar sebahagian daripada gaji yang diterimanya kepada kedua-dua ibu bapanya di Ipoh.

Chen menjelaskan lagi bahawa dia lebih selesa tinggal di pusat membeli belah tersebut berbanding di rumah sewanya yang panas dan sempit. Dia juga mengaku tidak serasi dengan rakan serumahnya.

Dia membuat keputusan untuk menyewa sebuah bilik di sini kerana dia memerlukan alamat tetap untuk mendapatkan pas pekerjaan untuk bekerja di negara jiran itu. Dia juga pulang ke rumahnya sehari atau dua seminggu untuk membersihkan diri.

homeless-1

Ketika dihubungi wartawan daripada akhbar The Straits Times, seorang jurucakap bagi pusat membeli belah Jurong Point menjelaskan bahawa, “Kami sangat berbesar hati apabila para pengunjung menggunakan kemudahan yang disediakan.”

“Sekiranya Encik Chen Jinfu menggunakan kemudahan yang disediakan sewajarnya tanpa menimbulkan perasaan kurang selesa kepada para pengunjung yang lain, kami mengalu-alukan kedatangan dia sepertimana kami mengalu-alukan kedatangan pengunjung-pengunjung yang lain,” tambah jurucakap itu lagi.

Menurut Chen lagi, dia tidak pernah diusir daripada pusat membeli belah tersebut dan sangat berterima kasih kepada pihak pengurusan Jurong Point yang sangat bermurah hati itu.

Era Baru

Maybe you're interested :

Share
Kategori: Aneh INSPIRASI

Video Popular

Ad will display in 09 seconds