10. Rusa Irish (5,200 S.M.)

ex1

Patung rusa Irish

Rusa Irish, atau nama saintifiknya, Megaloceros giganteus, wujud 400,000 tahun dahulu dan pupus 5,000 tahun dahulu. Rusa ini mempunyai ketinggian 7 kaki pada aras bahunya dan mempunyai berat badan seberat 700kg.

Haiwan ini dahulunya berkeliaran dari kawasan negara Ireland kini hingga ke Siberia. Faktor kepupusannya dikaitkan dengan kegiatan pemburuan yang dilakukan manusia.

Perubahan taburan ais pada masa itu juga mungkin telah menyebabkan perubahan jenis tumbuhan yang tumbuh di habitat mereka. Ini menyebabkan sumber makanan yang diperolehi haiwan ini terjejas.

9. Quagga (1883)

ex2

Gambar foto seekor Quagga yang diambil di Zoo London pada tahun 1870

Sebahagian kuda dan sebahagian lagi zebra, haiwan yang dikenali sebagai Quagga ini wujud 200 000 tahun dahulu dan telah pupus pada abad ke-19.

Haiwan ini mempunyai habitat di Afrika Selatan dan namanya diberi berdasarkan bunyi yang dihasilkan haiwan ini. Nama saintifiknya pula adalah Equus quagga.

Ianya diburu sehingga pupus pada tahun 1883 untuk melindungi tanah bagi kegunaan haiwan ternakan selain untuk mendapatkan daging dan kulitnya.

8. Serigala Honshu (1905)

ex3

Seekor serigala Honshu yang diawet di Zoo Ueno, Jepun

Serigala Honshu (Canis lupus hodophilax) dahulunya hidup di kepulauan Shikoku, Hyushu dan Honshu di negara Jepun. Pada tahun 1732, populasi serigala ini dijangkiti penyakit anjing gila yang telah menyebabkan banyak dalam kalangan populasi haiwan ini terbunuh.

Dan oleh kerana interaksi diantara populasi serigala ini dengan manusia meningkat  akibat daripada kegiatan pembasmian hutan, haiwan ini terus diburu sehingga ianya pupus pada tahun 1905.

7. Burung Great Auk (1852)

ex4

Burung Great Auk mempunyai ciri-ciri fizikal seperti burung penguin

Dikenali dengan nama saintifiknya, pinguinus impennis, burung Great Auk ini banyak persamaannya dengan burung-burung penguin. Seperti burung-burung penguin, burung Great Auk ini adalah perenang yang baik, menyimpan lemak untuk memanaskan badan, dan tinggal di dalam koloni yang besar.

Pada abad ke-16, masyarakat Eropah memburu burung ini untuk mendapatkan bulunya untuk dijadikan bantal. Kemudiannya di Amerika Utara, burung ini diburu untuk dijadikan umpan untuk menangkap ikan. Ianya juga disiat dan dibakar hidup-hidup untuk diambil bulunya atau untuk dimakan. Burung ini pupus pada abad ke-19.

6. Kura-kura Pulau Pinta (2012)

ex5

Lonesome George, kura-kura Pulau Pinta yang terakhir, mati pada tahun 2012

Kura-kura Pulau Pinta (Chelonoidis nigra abingdonii) ini adalah sejenis subspesis kura-kura gergasi yang tinggal di Pulau Galapagos. Pada kurun ke-19, ianya diburu untuk dijadikan makanan.

Dan pada tahun 1950-an, habitat kura-kura ini telah musnah apabila kambing ternakan mula dibawa masuk ke pulau tersebut. Pelbagai usaha telah dilakukan untuk menyelamatkan spesis ini, tetapi menjelang tahun 1971, hanya seekor sahaja spesis kura-kura ini yang masih hidup.

Kura-kura yang dinamakan Lonesome George ini mati pada tahun 2012, segala usaha untuk membiakkan baka spesis kura-kura ini telah gagal.

5. Sapi Laut Steller (1768)

ex6

Perbandingan saiz Sapi Laut Steller dengan saiz manusia

Sapi laut Steller adalah hidupan mamalia laut besar yang memakan tumbuh-tumbuhan. Ianya ditemui oleh Georg Wihelm Steller. Dalam masa 3 dekad sejak penemuan haiwan ini, ianya telah pupus diburu masyarakat Eropah.

Sifatnya yang jinak dan kebiasaan haiwan ini mencari makanan di permukaan laut yang cetek memudahkan haiwan ini diburu dan dibunuh. Sapi laut Steller, atau nama saintifiknya, hydrodamalis gigas, telah pupus pada tahun 1768.

4. Smilodon (10,000 S.M.)

ex7

Smilodon mempunyai gigi bertaring yang panjang

Fosil haiwan ini banyak ditemui di kawasan Amerika Utara dan Amerika Selatan. Walaupun ianya lebih dikenali sebagai kucing bergigi pedang, ciri-ciri fizikal haiwan ini sebenarnya lebih hampir kepada seekor beruang.

Pada kebiasaanya, Smilodon akan memburu haiwan yang lebih besar daripada saiz mereka sendiri seperti kerbau bison, rusa, dan gajah mammoth. Kepupusan Smilodon berkait rapat dengan pemburuan yang dilakukan manusia.

3. Gajah Mammoth (2,000 S.M.)

ex8

Gambaran pelukis Gajah Mammoth

Gajah Mammoth (Mammuthus primigenius) dahulunya hidup di kawasan tundra artik. Ianya mempunyai ketinggian 11 kaki dan beratnya mencecah 6 tan, iaitu lebih kurang sama dengan ciri-ciri fizikal gajah Afrika.

Tetapi berbeza dengan gajah yang kita biasa lihat hari ini, gajah mammoth diselaputi bulu berwarna perang dan hitam serta berekor pendek.

Gajah Mammoth ini mempunyai gading yang panjang untuk bertempur atau mencari makanan. Dan gading inilah yang menjadi bahan utama yang diburu manusia selain daging haiwan ini yang dijadikan makanan. Haiwan ini pupus lebih kurang 4000 tahun yang lalu.

2. Burung Moa (1400)

ex9

Lakon semula aktiviti pemburuan burung Moa 

Burung Moa (Dinomithiformes) adalah spesis burung asli di New Zealand. Haiwan ini tiada keupayaan untuk terbang dengan ketinggian mencecah 12 kaki dan beratnya yang mencecah 230kg.

Pada kebiasaanya, burung Moa ini menjadi mangsa buruan burung helang Haast. Tetapi keadaan berubah dengan ketibaan masyarakat Mãori pada tahun 1300 yang memburu mereka sehingga haiwan ini kepupusan. Akibat daripada itu, spesis burung helang Haast juga telah pupus kerana kekurangan sumber makanan.

1. Harimau Tasmanian (1936)

ex10

Haiwan nokturnal ini memburu pada waktu malam

Harimau Tasmanian (Thylacine) merupakan haiwan karnivor marsupial yang terbesar pada zaman moden ini. Ianya pupus pada tahun 1930-an kesan daripada aktiviti pemburuan yang tidak terkawal oleh para peladang yang ingin melindungi haiwan-haiwan ternakan mereka.

Antara faktor-faktor lain yang menyumbang kepada kepupusan haiwan ini ialah kehilangan habitat kesan daripada perluasan kawasan pertanian, serangan wabak penyakit, dan penggunaan anjing di dalam menjaga keselamatan haiwan-haiwan ternakan.

Haiwan ini dahulunya dijumpai di Tasmania, Australia, dan New Guinea. Ianya boleh membesar sehingga 2 meter panjang dari kepala hingga ke ekor.

Era Baru

Maybe you're interested :

Share
Kategori: INSPIRASI Pesona

Video Popular

Ad will display in 09 seconds