PUTRAJAYA- Mulai 1 Januari 2017 Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan telah menguatkuasakan Peraturan-Peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan (Mekanisme Untuk Menentukan Keuntungan Tinggi Yang Tidak Munasabah Bagi Barangan) 2016 bagi bertindak terhadap aktiviti pencatutan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan pihak Kementerian lagi, peraturan ini akan menggantikan Peraturan-Peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan (Mekanisme Untuk Menentukan Keuntungan Tinggi Yang Tidak Munasabah) (Margin Keuntungan Bersih) 2014 yang telah tamat kuatkuasanya pada 31 Disember 2016.

Kementerian telah mengambil masa yang mencukupi bagi mengadakan perbincangan dengan semua pihak berkepentingan dalam mengadakan Peraturan baharu berkenaan.

Setelah mengkaji, meneliti dan mempertimbangkan pandangan dan cadangan daripada pihak peniaga dan pengguna, pihak Kementerian mendapati adalah wajar untuk meneruskan penguatkuasaan pencatutan demi kepentingan semua pihak.

Peraturan ini menggunakan kaedah pengiraan peratusan mark up atau peratusan margin sebagai prinsip asas untuk menentukan pencatutan bagi barangan oleh peniaga dalam perjalanan satu tahun perniagaan.

Peraturan ini bukan berniat untuk menetapkan kadar keuntungan barangan yang diurus niaga atau dijual. Namun begitu, Kementerian mempunyai asas melalui mekanisme dalam peraturan ini bagi memastikan keuntungan yang ditentukan atau diperolehi oleh peniaga bagi sesuatu barangan adalah munasabah.

Mekanisme yang digunapakai mengambil kira mark up atau margin sesuatu barangan oleh peniaga bagi tempoh 3 tahun sebelumnya serta tren kenaikan mark up atau margin barangan tersebut. Oleh yang demikian, penentuan keuntungan oleh peniaga yang diambilkira pihak Kementerian adalah berasaskan kepada data maklumat perniagaan yang lepas.

Peraturan-Peraturan ini adalah terpakai kepada semua barangan. Walau bagaimanapun, Kementerian akan memulakan penguatkuasaan dan pemakaian Peraturan kepada 2 kategori barangan iaitu makanan dan minuman serta barangan isi rumah.

Barangan isi rumah adalah terdiri daripada jenis barang yang tidak tahan lama termasuk produk penjagaan diri. Keutamaan diberi bagi barangan ini kerana ia memberi kesan langsung ke atas perbelanjaan isi rumah dan kos sara hidup rakyat.

Namun, Kementerian akan memperluaskan penguatkuasaan peraturan ini kepada barangan dan perkhidmatan lain mengikut keperluan dan kewajaran. Peraturan-Peraturan ini berkuatkuasa ke atas semua peringkat perniagaan bagi barangan yang termasuk dalam skop pemakaian peraturan.

Tempoh peralihan selama 3 bulan bermula pada 1 Januari 2017 akan diberi kepada peniaga bagi persediaan pematuhan kepada peraturan ini. Kementerian akan melaksanakan program advokasi untuk memberi penjelasan dan penerangan kepada pihak berkepentingan khususnya peniaga yang tertakluk kepada penguatkuasaan bagi mempertingkatkan kefahaman dan kesedaran terhadap pematuhan kepada Peraturan ini.

Kementerian mengadakan peraturan ini bukan sahaja untuk menjaga kepentingan pengguna daripada dibebani peningkatan harga barangan yang tidak berpatutan tetapi juga memastikan perniagaan domestik terus beroperasi dalam suasana yang kondusif dengan pengambilan keuntungan yang berpatutan.

Era Baru

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular

Ad will display in 09 seconds