BISNES, Korporat

Syarikat Hertz masih menarik minat pelabur

Jutawan Carl Icahn menggandakan pelaburan bagi mengaut keuntungan

Syarikat Hertz masih menarik minat pelabur
Syarikat Hertz mengumumkan jangkaan prestasi syarikat yang lemah pada 8 November.(Spencer Platt/Getty Images)

Syarikat penyewaan kereta bakal menjadi mangsa kepada syarikat Uber dan syarikat yang menawarkan khidmat perkongsian kereta lain yang memberi cabaran kepada model perniagaan tradisional.

Berdepan dengan pertumbuhan keuntungan yang perlahan, syarikat Hertz dan Avis kini sedang kehilangan pelanggan mereka kepada syarikat-syarikat yang menawarkan perkhidmatan perkongsian kenderaan yang lain.

Para pelancong perniagaan lebih gemar menggunakan perkhidmatan perkongsian kereta daripada menyewa kereta atau teksi berdasarkan laporan daripada syarikat Certify, sebuah syarikat pengurusan perisian perbelanjaan. Berdasarkan rekod jumlah transaksi, pada suku ketiga tahun 2016, sebanyak 52 peratus daripada perkhidmatan kenderaan yang digunakan oleh pelancong perniagaan adalah daripada syarikat Uber dan Lyft. Jumlah ini merupakan yang terbesar berbanding 36 peratus bagi perkhidmatan sewa kereta dan 12 peratus bagi perkhidmatan teksi.

 “Berdasarkan saiz sampel kajian kami yang mengambil kira sebanyak 10 juta resit penerimaan dan perbelanjaan pada suku tahun tersebut, kami merasakan keputusan kajian menunjukkan trend ekonomi dunia,” kata Bob Neveu, presiden syarikat Certify.

Cabaran awal yang dihadapi model perkhidmatan penyewaan kereta adalah dari syarikat Zipcar menurut Rita Gunther McGrath, seorang profesor di Columbia Business School. Syarikat yang menawarkan perkhidmatan perkongsian kereta tersebut membolehkan pelanggan untuk menyewa kereta untuk waktu yang singkat. Syarikat Avis kemudiannya telah membeli syarikat Zipcar pada tahun 2013, manakala syarikat Hertz dan lain-lain menawarkan khidmat sewaan jangka-pendek mereka sendiri.

“Dengan perkhidmatan sewaan jangka-pendek, para pelangan masih lagi perlu melalui proses pendaftaran dan pembayaran yuran. Manakala Uber beroperasi berdasarkan jumlah permintaan. Ianya mempunyai kos yang rendah untuk beroperasi,” tambah McGrath lagi.

Jumlah saham bagi syarikat Hertz Global Holdings Inc. (NYSE:HTZ) mencatatkan penurunan sebanyak 23 peratus pada 8 November setelah syarikat tersebut mengumumkan kerugian sebanyak $42 juta pada suku-ketiga 2016 dari $237 juta tahun lalu. Syarikat tersebut juga mengumumkan jangkaan prestasi syarikat yang lemah.

Harga saham syarikat Hertz mengalami kejatuhan sebanyak 50 peratus pada hari tersebut sebelum jutawan Carl Icahn membeli sebanyak 15 juta daripada saham syarikat yang ditawarkan. Kini jutawan tersebut memiliki 30 peratus saham syarikat.

Graf menunjukkan pelancong perniagaan lebih gemar menggunakan perkhidmatan perkongsian kereta. (Certify) Graf menunjukkan pelancong perniagaan lebih gemar menggunakan perkhidmatan perkongsian kereta. (Certify)

Syarikat tersebut kini masih lagi menjana jumlah wang yang signifikan. Keadaan ini boleh menarik minat para pelabur ekuiti persendirian. Syarikat Hertz menamatkan suku ketiga tahun 2016 dengan jumlah aset $1.43 billion dalam bentuk tunai.

Namun begitu, McGrath menjelaskan lagi bahawa trend penjanaan aliran tunai yang banyak merupakan suatu kebiasaan sebelum sesebuah syarikat itu mengalami kegagalan akibat daripada kemunculan pelan perniagaan yang baru seperti yang pernah terjadi kepada syarikat Blockbuster dahulu.

“Anda masih lagi dapat mengaut keuntungan dari syarikat yang sedang mengalami kejatuhan,” tambah McGrath lagi.

Era Baru

Kategori:BISNES Korporat

ANDA JUGA MUNGKIN SUKA

Pilihan Editor

loading...