TOKYO, Jepun – Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun (JETRO) telah menandatangani memorandum kerjasama (MoC) yang sekaligus mengukuhkan kedudukan negara Jepun sebagai sumber pelaburan luar terpenting bagi sektor pembuatan di Malaysia sejak tahun 1980.

Perjanjian tersebut ditandatangani oleh Dato’ Azman Mahmud yang mewakili MIDA, sementara Hiroyuki Ishige, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif JETRO, menandatangani memorandum tersebut bagi pihak JETRO.

“Perjanjian kerjasama hari ini memberikan satu model yang positif bagaimana agensi kerajaan dari dua buah negara boleh bekerjasama untuk menggalakkan hubungan perniagaan mereka. Kerjasama strategik ini sangat penting untuk membantu para pelabur dalam membuat keputusan yang melibatkan pelaburan aset mereka,” jelas Dato’ Azman Mahmud, Ketua Pegawai Eksekutif MIDA dalam kenyataan media mereka.

Upacara tersebut disaksikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Najib Razak dan Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe. Mereka mengalu-alukan pemeteraian perjanjian tersebut sebagai satu langkah penting di dalam perasmian kerjasama ekonomi yang sedia ada di antara negara Jepun dan Malaysia.

Menurut MIDA, sehingga bulan Ogos 2016, sebanyak 3,398 projek yang melibatkan negara Jepun telah diluluskan di dalam sektor pembuatan negara dengan nilai pelaburan mencecah USD 33.1 billion. Kebanyakan daripada pelaburan tersebut melibatkan bidang elektronik dan peralatan elektronik, industri kimia serta barangan berasaskan produk kimia, produk galian bukan logam, produk berasaskan petroleum, produk berasaskan logam, serta bahan kelengkapan pengangkutan.

Antara syarikat tersohor Jepun yang telah bertapak di negara di dalam sektor pembuatan Malaysia terdiri daripada syarikat Panasonic, Nippon Electric Glass, Toray, Fuji, Sonu, Rohm-Wako dan Honda.

Sebelum berlangsungnya upacara pemeteraian perjanjian tersebut, Perdana Menteri Malaysia telah mengadakan perbincangan dengan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif JETRO berhubung dengan kerjasama masa hadapan di era termeterainya perjanjian perdagangan bebas yang boleh mengukuhkan kerjasama perniagaan di antara kedua-dua buah negara.

Kerjasama dua-hala di antara Malaysia dan Jepun telah berkembang dengan baik sejak 50 tahun yang lalu. Hubungan baik ini bukan sahaja dilihat di antara kedua-dua kerajaan, malah turut berkembang di kalangan sektor swasta.

Era Baru

Maybe you're interested :

Share
Kategori: Asia GLOBAL

Video Popular

Ad will display in 09 seconds