KESIHATAN

Manfaat urutan kepada bayi

Manfaat urutan kepada bayi
Urutan bayi mempunyai banyak manfaat dari segi fisiologi. (Fotolia)

Sesiapa sahaja mesti menyukai nikmat urutan tubuh yang menyenangkan tidak kiralah sama ada kanak-kanak, bayi, ataupun orang dewasa. Urutan merupakan terapi sentuhan yang telah dilakukan sejak bertahun-tahun lamanya.

Daripada perspektif psikologi, terdapat bukti bahawa kanak-kanak yang membesar dalam suasana sentuhan yang sihat lebih berpotensi untuk menjadi seorang dewasa yang mempunyai harga diri serta mampu membina hubungan yang baik dalam kehidupan mereka pada masa hadapan.

Urutan bayi mampu menimbulkan ketenangan dan mewujudkan hubungan yang lebih mendalam antara ibu dan anak. Sentuhan ibu dapat mewujudkan rasa kepercayaan seorang anak kepada ibu. Tambahan pula, pancaindera pertama yang dapat dialami oleh setiap yang hidup ialah sentuhan. Oleh sebab itulah, wujudnya mutiara kata “sentuhan dapat menyampaikan lebih dari seribu kata”.

Urutan bayi mempunyai banyak manfaat dari segi fisiologi. Urutan dapat membantu dalam proses pencernaan, peredaran darah dan pembesaran bayi. Urutan turut membantu dalam proses perkembangan bagi bayi pra-matang. Begitu juga bagi bayi yang lahir dengan kecacatan atau bayi yang mengalami asthma, diabetes atau segala jenis masalah kulit. Urutan memberikan kesan yang positif bagi tumbesaran dan proses pemulihan mereka.

Doktor juga turut menyarankan urutan bagi kanak-kanak yang menderita penyakit kanser kerana urutan dapat mengurangkan tekanan dan meningkatkan sistem imunisasi bagi tubuh badan. Begitu juga halnya bagi kanak-kanak autistik.

Urutan boleh dimulakan ketika bayi berumur antara 15-20 hari. Mandian air suam sebelum sesi urutan dibuat boleh membantu bayi untuk lebih relaks dan membantu mereka mendapatkan masa tidur yang optimum.

Antara kebaikan urutan bayi adalah:

  • Bayi kurang meragam dan menjadi kurang cerewet
  • Meningkatkan kualiti tidur bayi dan membantu menyusun pola tidur yang baik
  • Bayi yang menerima urutan secara konsisten akan menjadi lebih sihat dan berat badan mereka akan naik dengan lebih cepat berbanding bayi yang tidak menerima urutan
  • Mewujudkan suasana yang baik bagi bayi
  • Meningkatkan selera makan bayi
  • Melindungi tubuh daripada pelbagai penyakit seperti sembelit, yang sering menjadi masalah kepada bayi-bayi
  • Melindungi bayi dari masalah resdung dan sesak nafas, khususnya jika urutan dibuat semasa musim sejuk
  • Meningkatkan sistem imunisasi tubuh badan bayi
  • Membantu bayi untuk bergerak aktif dan menguatkan otot-otot mereka
  • Menguatkan ikatan dengan ibu, yang akhirnya, akan membawa kepada perkembangan psikologi yang lebih cerdas

Era Baru

Kategori:KESIHATAN

ANDA JUGA MUNGKIN SUKA

Pilihan Editor

loading...