MANAMA, BAHRAIN, 8 NovemberMomentum pembiayaan untuk pertanian semakin meningkat ekoran dari perhatian yang diberikan kepada keselamatan makanan dan rangkuman kewangan.

Hal ini telah ditekankan oleh Dato’ Wan Mohd Fadzmi bin Wan Othman, Presiden / Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank pada Persidangan Kewangan Islam tahunan AAOIFI –  Bank Dunia yang ke-11 anjuran pertubuhan Perakaunan dan Pengauditan bagi Institusi Kewangan Islam (AAOIFI) yang diadakan di Bahrain semalam.

Agrobank yang diwakili oleh Dato’ Wan Mohd Fadzmi telah diundang oleh AAOFI dan Bank Dunia sebagai pengulas untuk sesi ‘Pembiayaan Pertanian: Destinasi Baharu untuk Kewangan Islam.’

Menurut Dato’ Wan Mohd Fadzmi, keperluan untuk melabur dalam bidang pertanian semakin meningkat disebabkan oleh peningkatan jumlah penduduk dunia dan perubahan dalam kecenderungan pemilihan makanan di kalangan kelas pertengahan kepada makanan bernilai tinggi dalam pasaran baharu seperti tenusu, daging, ikan, buah-buahan, sayur-sayuran, dan lain-lain.

Menurut kenyataan Agrobank, Bank Dunia menganggarkan bahawa permintaan untuk makanan bakal menyaksikan peningkatan sehingga 70% pada tahun 2050, dan pelaburan terutamanya dalam teknologi adalah penting dalam meningkatkan pengeluaran makanan dan produktiviti secara ketara. Dalam konteks ini, Agrobank sentiasa komited dalam menyokong perniagaan pertanian yang berdaya maju yang memberi tumpuan kepada pengunaan teknologi dan inovasi,” kata Dato’ Wan Mohd Fadzmi.

Di Malaysia, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) sangat komited dalam memastikan keselamatan makanan menerusi peningkatan tahap sara diri negara (SSL) dan cita-cita untuk mengeksport produk makanan ke pasaran halal global yang dianggarkan bernilai USD$632 billion atau 16% dari industri makanan global.  Dato’ Wan Mohd Fadzmi berkata Agrobank memberi sokongan terhadap aspirasi MoA melalui penawaran produk dan perkhidmatan yang inovatif serta patuh syariah.

Kebelakangan ini, pembiayaan patuh syariah untuk pertanian telah mendapat tumpuan yang ketara. Agrobank percaya ini adalah perkembangan positif kerana pertanian sering dikaitkan dengan makanan.

Agrobank menganggarkan bahawa saiz Kewangan Islam global bernilai 2.1 trilion. Walau bagaimanapun, kurang daripada 1% daripada ini meliputi kewangan Islam. “Oleh yang demikian, pembiayaan mikro Islam bagi golongan petani dan komuniti luar bandar mempunyai potensi sangat besar dan prospek cerah, ” jelas Dato’ Wan Mohd Fadzmi.

Bagi rangkuman kewangan, Agrobank sentiasa menyokong inisiatif Kerajaan untuk meningkatkan jangkauan dengan menyediakan akses kepada pelbagai perkhidmatan kewangan yang berkualiti pada kadar pembiayaan yang berpatutan dan kompetitif,” kata Dato’ Wan Mohd Fadzmi pada persidangan itu.

“Kebelakangan ini, Agrobank telah memberi fokus dalam membangunkan produk yang lebih inovatif untuk kumpulan sasaran seperti pembiayaan ‘Paddy-i‘ yang dibangunkan untuk menampung pendapatan bermusim petani padi dan juga pembiayaan khas untuk orang kurang upaya yang dikenali sebagai AgroBakti.

Selain daripada penawaran produk pembiayaan yang inovatif, Agrobank juga memberi tumpuan kepada perkhidmatan untuk masyarakat kawasan luar bandar. Lebih daripada 71% daripada cawangan Agrobank dan kiosk beroperasi di kawasan-kawasan ini.

Di persidangan itu juga, Agrobank turut menyentuh tentang usaha Bank dalam membantu MOA untuk membangunkan produk perlindungan takaful pertanian yang mampan dan mampu milik yang akan melindungi pelaburan dalam pertanian dari fenomena cuaca yang tidak menentu.

Era Baru

Maybe you're interested :

Share
Kategori: Asia GLOBAL

Video Popular

Ad will display in 09 seconds