PUTRAJAYA, 6 November – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) adalah serius dalam usaha mengambil tindakan terhadap pengeluaran dan penggunaan gelaran akademik palsu oleh individu dan organisasi. Gelaran akademik palsu yang umumnya digunakan dan dihasilkan ialah gelaran ‘Dr.’ sebagai seorang graduan PhD.

KPT, melalui Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (Akta 30), Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (Akta 555) dan garis panduan sedia ada pada penggunaan gelaran akademik, akan mewujudkan satu daftar di bawah Jabatan Pengajian Tinggi untuk semua pemegang PhD dalam negara. Daftar ini akan mendaftarkan mereka yang menamatkan pengajian PhD dalam negara secara automatik. Bagi mereka yang menamatkan pengajian PhD dari luar negara pula, pengesahan boleh didapatkan dari universiti masing-masing.

Menurut kenyataan KPT, penubuhan daftar ini adalah untuk memudahkan dan melengkapkan undang-undang yang sedia ada selain berfungsi sebagai tambahan kepada perlindungan undang-undang yang diperuntukkan di bawah Kanun Keseksaan yang membenarkan tindakan jenayah diambil terhadap pengeluaran dan penggunaan gelaran akademik palsu.

Kementerian percaya bahawa langkah ini akan menjamin penggunaan gelaran akademik yang kredible, membolehkan orang ramai mengesah maklumat dan mencegah pengeluaran palsu sijil-sijil akademik.

Sejajar dengan ini, Universiti Malaya telah membuat laporan polis berhubung kes seorang penceramah motivasi popular yang menggunakan gelaran ‘Dr.’ palsu malah mendakwa bahawa beliau memperoleh PhD dari Universiti Malaya. Universiti Malaya turut mengambil tindakan undang-undang yang selanjutnya terhadap individu berkenaan.

Universiti-universiti tempatan lain yang disebut dalam kelayakannya turut mengikuti langkah Universiti Malaya dalam kes ini.

Era Baru

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular

Ad will display in 09 seconds