KUALA LUMPUR, 4 November – Yayasan CIMB, dengan kerjasama daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), baru-baru ini telah mengumpulkan 50 orang pelajar ijazah pertama dari negara-negara ASEAN untuk menghadiri bengkel tiga hari tentang kefahaman dan persediaan untuk menghadapi bencana-bencana.

Dengan tema Disaster Risk Reduction (DRR) atau Pengurangan Risiko Bencana, bengkel ini merupakan suatu daripada program di bawah Pemimpin Muda ASEAN Yayasan CIMB (CIMB YAL), yang pada masa kini dalam siri keempatnya.

Program CIMB YAL ini menampilkan tema-tema yang berlainan pada setiap tahun dan ia bertujuan untuk melatih pemimpin-pemimpin muda ASEAN tentang tanggungjawab sosial dan memberi inspirasi kepada mereka untuk memulakan program-program yang bermanfaat kepada komuniti di negara masing-masing.

Program ini juga merupakan satu platform bagi belia ASEAN untuk bertukar idea, meluaskan pandangan mereka, belajar daripada pengalaman antara budaya dan membina rangkaian antara rakan-rakan ASEAN mereka. Tema-tema dan aktiviti-aktiviti program ini telah disusun istimewa bagi membantu golongan belia ini memahami isu-isu semasa, dan memupuk semangat perkongsian tanggungjawab ke arah pembangunan yang mampan.

Tema bengkel tahun ini memberikan tumpuan kepada mengurangkan risiko-risiko bencana melalui analisis secara sistematik dan pengurusan yang baik bagi punca-punca yang berpotensi mendatangkan bencana.

Usaha-usaha ini termasuklah mencari jalan-jalan penyelesaian untuk mengurangkan pendedahan kepada bahaya, pengurusan tanah dan alam sekitar yang bijak, dan meningkatkan persediaan bagi peristiwa-peristiwa tidak diingini untuk mengurangkan kemusnahan masyarakat dan harta benda semasa bencana.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan CIMB, Hamidah Naziadin berkata dalam kenyataan CIMB, “DRR adalah topik yang signifikan dan tepat pada masanya memandangkan Sendai Framework for Disaster Risk Reduction baru-baru ini telah disokong oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. ASEAN telah didedahkan kepada pelbagai jenis bencana yang berpunca oleh alam semulajadi dan juga manusia. Tema bagi YAL 2016 mengenai pengurangan risiko bagi bencana-bencana sebegini adalah penting ke arah mempersiapkan golongan belia ASEAN secara fizikal dan mental dalam pengurusan kejadian-kejadian yang tidak diingini.”

Era Baru

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular

Ad will display in 09 seconds