Manusia tidak dapat elakkan perasaan kecewa atau susah hati akibat daripada pelbagai cabaran hidup. Yang pentingnya, kita tahu cara untuk mengatasinya. Inc.com berkongsi lima tips yang boleh dipraktikkan untuk membantu anda menyelaraskan emosi sewaktu anda melalui kesedihan dan kekecewaan. Tips-tips ini akan membantu anda membina semula kekuatan untuk melangkah ke hadapan.

Lompat naik turun

Ketika mood anda sedang terganggu, melompat boleh membantu menghilangkan gangguan pemikiran anda dan mengembalikan anda dalam keadaan restart atau set semula. Melompat dapat mengosongkan fikiran dan membantu anda untuk menenangkan diri tanpa berfikir tentang apa-apa perkara.

Sebahagian besar individu mempunya kemampuan untuk menjangka worst case scenario ataupun kemungkinan terburuk dan menyediakan payung sebelum hujan. Namun, fokus yang melampau kadangkala membawa kepada jalan buntu dan menambah lagi tekanan yang sedia ada. Pada masa-masa seperti itu, melompat dapat mengalihkan perhatian anda daripada kepala kepada tubuh badan dan menarik keluar emosi yang terganggu itu.

Selalu bersyukur

Ketika emosi sedang terganggu, kita mudah melupakan perkara-perkara positif dalam kehidupan. Tetapi, walau apa jua yang terjadi, kita haruslah berfikir tentang perkara-perkara yang baik agar kita dapat menghargai dan mensyukuri aspek tersebut dalam kehidupan kita. Contohnya, sekiranya anda berjalan kaki ke tempat kerja pada pagi ini, bandingkan situasi anda dengan orang yang perlu bergerak dengan kerusi roda. Fikirkanlah betapa bahagianya anda kerana masih memiliki sepasang kaki yang mampu berjalan. Konsep yang sama perlu diterapkan dalam hal-hal yang lain termasuklah mendengar, melihat dan menghidu. Fikirkan betapa beruntungnya anda kerana dapat melakukan semua ini. Bersyukurlah.

Fikir lagi tentang perkara-perkara positif yang terjadi dalam satu hari ini, seperti ciuman daripada ahli keluarga sebelum anda ke tempat kerja, kehangatan matahari yang menyinari bumi, ataupun kerusi kosong yang anda duduk ketika menaiki kereta api. Perkara-perkara kecil seperti inilah yang dapat membantu anda untuk berfikir dengan tenang semula saat anda merasakan kekecewaan. Biarlah rasa syukur itu menghilangkan tekanan perasaan dan membuka hati anda untuk menerima kebahagiaan dan melihat harapan saat duka dan kecewa.

Menarik nafas dengan dalam

Ketika anda merasa kekejangan dan ketegangan otot, berhentilah melakukan apa yang sedang anda lakukan. Sebaiknya, tarik nafas dengan dalam. Ini boleh dilakukan di mana-mana sahaja seperti di depan meja, di ruang awam, bahkan ketika anda sedang melakukan transaksi di bank. Tarik nafas dengan dalam selama lima saat dan tahan nafas anda selama dua atau tiga saat. Kemudian, hembuskan nafas anda dengan perlahan seraya mengira sehingga lima.

Cuba untuk menarik nafas dengan dalam selalu sehingga anda merasa paru-paru anda penuh, lalu hembuslah semuanya. Ketika menarik nafas, rasai udara mengalir melalui hidung anda dan rasai perut anda mengembang. Ketika menghembus nafas, rasai udara meninggalkan tubuh anda dan rasai perut anda mengempis. Kemudian, bernafas seperti biasa melalui hidung. Seterusnya, bernafas dengan dalam lagi dan teruskan selama tiga hingga lima minit. Bernafas dengan dalam mampu membantu anda melegakan stres.

Mendengar muzik

Berehat sebentar sambil mendengar lagu-lagu kegemaran anda. Muzik adalah cara unik untuk mengubah mood anda. Mungkin lagu yang sering anda dengar sewaktu anda berasa tenang dan gembira mampu membuat anda kembali tersenyum. Sebaiknya, pilihlah lagu yang boleh membuat anda bersemangat.

Hidup untuk hari ini sahaja

Kita sering menumpukan perhatian kita terhadap perkara-perkara yang telah terjadi dan juga masa depan yang masih tidak tentu. Oleh itu, kita menjadi terlalu khuatir dan risau. Jika perkataan-perkataan seperti “kalaulah…” atau “seandainya…” sering bermain di dalam benak pemikiran anda, maksudnya anda telah keluar daripada realiti kehidupan. Pemikiran seperti itu akan membuatkan masalah anda kelihatan lebih rumit.

Sekiranya perkara ini berlaku, alihkan perhatian anda kepada apa yang ada di depan mata anda. Beri tumpuan kepada apa yang sedang anda lakukan dan hindari perkara yang boleh menghalang konsentrasi anda. Adakala, kita terlalu khuatir tentang banyak perkara sehingga kita mengabaikan realiti. Apabila kita melihatnya semula, kita akan mendapati bahawa situasi sebenar tidaklah seteruk yang kita sangkakan dan masalah itu mampu kita selesaikan.

Kata Mark Twain, “Saya seorang lelaki tua dan saya telah mengenal banyak masalah-masalah yang besar, tetapi tiada satu pun telah terjadi.” (I am an old man and have known a great many troubles, but most of them never happened).

Mulai hari ini, cubalah kelima-lima tips ini dan percayalah yang anda akan memiliki kebijaksanaan dan kekuatan untuk menghadapi hidup ini!

Era Baru

Share
Kategori: KESIHATAN

Video Popular

Ad will display in 09 seconds