PUTRAJAYA, 27 Oktober – Peruntukan perbelanjaan pembangunan (development expenditure) universiti awam Malaysia dalam Bajet 2017 telah meningkat daripada RM671.7 juta pada tahun 2016 kepada RM1.7 bilion untuk tahun 2017. Ini merupakan peningkatan sebanyak 153.97%.

Perbelanjaan pembangunan ini merupakan peruntukan bagi universiti awam untuk melaksanakan projek dan program yang dapat menjana pendapatan dan kegiatan ekonomi untuk universiti awam masing-masing.

Menurut kenyataan Kementerian Pendidikan Tinggi, peruntukan kerajaan untuk program pendidikan tinggi perlu dilihat secara komprehensif di mana perbelanjaannya meliputi kedua-dua perbelanjaan pembangunan dan perbelanjaan pengurusan (operating expenditure).

Walaupun perbelanjaan pengurusan untuk universiti awam telah dikurangkan dengan kadar purata 19.23%, namun jika dilihat secara komprehensif dengan mengambil kira perbelanjaan pembangunan, pengurangan sebenar peruntukan keseluruhan untuk universiti awam bagi tahun 2017 adalah 5.12% sahaja berbanding tahun sebelumnya.

Hasrat kerajaan dan kementerian adalah dengan peningkatan perbelanjaan pembangunan, universiti awam akan lebih berupaya untuk meningkatkan pendapatan masing-masing dan seterusnya mampu menampung perbelanjaan pengurusannya.

Secara keseluruhannya, bajet 2017 Kementerian Pendidikan Tinggi telah berkurangan sebanyak 9.3% daripada tahun sebelumnya. Walau bagaimanapun, daripada jumlah ini perbelanjaan pembangunan telah bertambah daripada RM1.6 bilion pada tahun 2016 kepada RM2.6 bilion bagi tahun 2017, iaitu peningkatan sebanyak 63.6%.

Kementerian ingin memaklumkan bahawa pengurangan peruntukan pendidikan tinggi adalah selaras dengan perancangan kementerian di bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) atau PPPM (PT) untuk mengurangkan kebergantungan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) kepada kerajaan yang pada masa kini berada dalam linkungan 80-90% dan ia dianggap sebagai satu kebergantungan yang terlalu tinggi.

IPT di Malaysia perlu berusaha mendapatkan sumber pendapatan tambahan sebagai alternatif untuk menjadi sebuah institusi pendidikan awam yang lebih fleksibel, kukuh, dan mampan dari segi pengurusan kewangan mereka. Dalam masa yang sama ianya memberi peluang yang luas kepada IPT untuk menjalin kerjasama dengan industri demi manfaat bersama.

Kementerian juga telah melancarkan buku bertajuk ‘Purple Book: Enhancing University Income Generation, Endowment & Waqf’ sebagai panduan kepada universiti awam dan semua IPT mengenai cara-cara meningkatkan kebolehan penjanaan pendapatan.

Era Baru

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular

Ad will display in 09 seconds