KUALA LUMPUR, 12 Oktober – Perbadanan Teknologi Hijau Malaysia (GreenTech Malaysia) baru-baru ini menyampaikan Sijil Pengurusan Tenaga “Gold Standard” (EMGS) kepada 20 buah organisasi yang berjaya menamatkan latihan Sistem Pengurusan Tenaga Lestari (SEMS).

Seterusnya, Pengurus Tenaga telah dilantik (CEMs) untuk melaksanakan sistem tersebut dalam bangunan masing-masing.

Sijil EMGS telah disampaikan oleh Ir Dato’ Seri Dr Zaini bin Ujang, Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) kepada Universiti Teknologi Malaysia, iaitu universiti yang pertama untuk mencapai penarafan 3-bintang EMGS.

Enam organisasi lain yang telah mencapai penarafan 1 bintang ialah Jabatan Peguam Negara, Johor Bahru Sentral, Bangunan Sultan Iskandar Johor Bahru, F & N Dairies Manufacturing Sdn Bhd, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd dan Institut Jantung Negara.

Sijil ini turut disampaikan khas untuk 13 hospital yang telah mencapai Pengurusan Tenaga “Gold Standard” dengan penarafan 1 bintang, iaitu Hospital Sungai Buloh, Hospital Langkawi, Hospital Bau Sarawak, Hospital Sultanah Nora Ismail, Hospital Port Dickson, Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Hospital Segamat, Hospital Jasin, Hospital Batu Gajah, Hospital Sultan Abdul Halim, Hospital Kuala Kangsar, Hospital Parit Buntar, dan Hospital Sultanah Bahiyah.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan GreenTech Malaysia, Ir. Ahmad Hadri Haris berkata, “Kami gembira untuk melihat komitmen untuk membangunkan teknologi hijau yang ditunjukkan oleh pemimpin-pemimpin dalam pelbagai industri. Penggunaan teknologi hijau bukan sahaja dapat mengurangkan kos kewangan tetapi juga membawa kebaikan kepada alam sekitar.

“Oleh yang demikian, pelaksanaan Sistem Pengurusan Tenaga Lestari adalah satu langkah yang penting dalam mengurangkan kesan karbon organisasi.”

Sistem Pengurusan Tenaga Lestari telah diperkenalkan oleh Pusat ASEAN bagi Tenaga (ACE) untuk mengurus dan mengurangkan penggunaan tenaga dan pelepasan karbon di rantau ASEAN. GreenTech Malaysia telah dilantik oleh ACE sebagai penyelaras negara dan badan pensijilan bagi pihak kerajaan.

Setakat ini, Skim Pengurusan Tenaga ASEAN (AEMAS) telah berjaya mengurangkan penggunaan tenaga sebanyak 52 juta kWh bagi pelaksana di bawah skim ini. Pelaksana juga berjaya menjimatkan kos kewangan mereka sebanyak RM26 juta dan mengurangkan  pelepasan CO2 sebanyak 36,000 tan dalam tempoh  enam tahun.

Era Baru

Maybe you're interested :

Share
Kategori: BISNES NASIONAL

Video Popular

Ad will display in 09 seconds