Menteri Pengangkutan Malaysia Datuk Seri Liow Tiong Lai hari ini berkata serpihan pesawat yang ditemui di Mauritius pada Mei tahun ini disahkan milik pesawat MH370.

Beliau berkata dalam satu kenyataan, pakar dari Biro Keselamatan Pengangkutan Australia telah memeriksa, menganalisis serpihan tersebut dan mengesahkan ia milik pesawat 9M-MRO, juga dikenali sebagai MH370.

Menurut Datuk Seri Liow, bahagian itu dikenal pasti sebagai “trailing edge splice strap” di bahagian kelepak luar spar belakang Boeing 777.

Serpihan tersebut mempunyai nombor pesanan kerja yang tersendiri. Rekod pengeluar kelepak menunjukkan nombor pesanan kerja yang dimasukkan ke dalam nombor siri 404 di kelepak luar sepadan dengan nombor siri 404 pesawat Boeing 777 yang berdaftar sebagai 9M-MRO (MH370).

Menurut kenyataan itu, ini merupakan serpihan yang ketiga yang disahkan bangkai pesawat MH370. Serpihan yang pertama ditemui pada Julai 2015 di pulau Reunion. Seterusnya, kepingan sayap yang diremui di Pulau Pemba, Tanzania pada Jun yang lalu juga disahkan milik MH370. Ada empat serpihan lagi dikatakan hampir pasti daripada pesawat tersebut.

Setakat ini, Kementerian Pengangkutan telah mengumumkan 22 serpihan dipercayai dari pesawat Boeing 777-200ER ditemui di Afrika Selatan, Mozambique, Mauritius dan Tanzania.

Kenyataan itu menambah bahawa, perkembangan terkini akan diumumkan dengan secepat mungkin sekiranya lebih banyak penemuan baru didapati.

Pada 8 Mac 2014, pesawat MH 370 yang membawa 239 orang penumpang telah hilang daripada imbasan radar dalam perjalanannya dari Kuala Lumpur ke Beijing.

Walaupun operasi mencari telah dijalankan untuk masa lebih setahun di lautan Hindi, pesawat tersebut belum ditemui lagi. Pada 22 Julai 2016, pihak berkenaan mengumumkan operasi pencarian pesawat dihentikan.

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular

Ad will display in 09 seconds