JAKARTA, 30 September- Presiden/ Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Dato’ Wan Mohd Fadzmi Wan Othman telah dianugerahkan ‘CEO Terbaik 2016’ di Majlis Anugerah Kewangan Islam Global (GIFA).

Anugerah ini memberi pengiktirafan kepada pemimpin yang telah melaksanakan perubahan kepada institusi yang diterajui serta aktif menyumbang kepada pembangunan industri kewangan Islam.

Agrobank dalam kenyataan hari ini berkata, Dr. Humayon Dar, Pengerusi Jawatankuasa GIFA 2016, Jawatankuasa GIFA sangat kagum dengan kepimpinan Dato’ Wan Mohd Fadzmi terutamanya dalam menjalankan peralihan Agrobank kepada sebuah institusi perbankan Islam moden yang sepenuhnya. “Anugerah CEO Terbaik ini memberi pengiktirafan kepada pemimpin yang telah melaksanakan perubahan kepada institusi yang diterajui. Setiap tahun, GIFA menganugerahkan pemenang yang telah menunjukkan kebolehan untuk merangka visi yang strategik, kesiapsiagaan dalam membuat keputusan bagi membantu institusi untuk berkembang secara mampan serta sifat intergriti yang utuh,” terang Profesor Dar.

Sejak mengambil alih tugasan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif pada tahun 2011, Dato’ Wan Mohd Fadzmi menjadi daya penggerak utama kepada transformasi Agrobank terutamanya dalam pengukuhan asas Bank dan memberi tumpuan kepada perniagaan teras serta mandat yang jelas dalam usaha membina dan memantapkan sektor pertanian. Beliau juga telah mengumumkan untuk menjadikan Agrobank sebagai sebuah institusi perbankan patuh syariah Islam sepenuhnya dalam tempoh masa tiga tahun.

Jawatankuasa GIFA turut kagum pencapaian Agrobank di bawah kepimpinan Dato’ Wan Mohd Fadzmi yang telah merekodkan peningkatan prestasi yang ketara; antaranya sedang menyusun semula proses dan prosedur untuk kecekapan yang lebih baik, mengurangkan kadar Pembiayaan Tidak Berbayar (NPL) kepada satu angka, membangunkan produk dan pembiayaan yang lebih inovatif serta relevan kepada komuniti pertanian serta menyumbangkan usaha cemerlang dalam rangkuman kewangan dan inisiatif yang diambil untuk meluaskan akses kepada kewangan.

Mengulas mengenai anugerah yang dimenanginya, Dato’ Wan Mohd Fadzmi berkata, “Saya amat berbesar hati untuk menerima anugerah berprestij ini. Ini adalah satu pengiktirafan kepada Agrobank dan semua kakitangan yang bekerja keras untuk melaksanakan peralihan untuk menjadikan Agrobank sebagai sebuah institusi perbankan Islam sepenuhnya. Perjalanan untuk merangka peralihan itu sangat mencabar, di mana ia melibatkan perubahan yang besar dan penting dalam termasuklah pemikiran, proses dan membuat semula kesemua dokumen.
“Kami juga amat bersyukur dengan sokongan padu yang diterima dari Bank Negara, Kementerian Kewangan Malaysia, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan juga ahli lembaga pengarah serta pihak-pihak berkepentingan Bank dalam merealisasikan cita-cita kami,” kata Dato’ Wan Mohd Fadzmi lagi.

Pada majlis yang sama, Agrobank turut menerima satu lagi pengiktirafan untuk kategori ‘Kes Kajian Kewangan Islam Terbaik 2016’. Pengerusi Agrobank, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal telah mewakili Agrobank untuk menerima anugerah tersebut.
GIFA, dianjurkan Edbiz Consulting yang beribupejabat di London sejak 2011, memberi penghormatan kepada bank, institusi kewangan, perundingan, agensi penarafan, broker insurans dan syarikat-syarikat teknologi di atas sumbangan mereka dan pengaruh positif kepada industri perbankan serta kewangan Islam global.

 Era Baru

Maybe you're interested :

Share
Kategori: NASIONAL

Video Popular

Ad will display in 09 seconds